
PETALING JAYA: Pengalaman pengunjung yang selamat menjadi kunci mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan global, kata Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Lee Lam Thye.
Justeru, beliau menggesa kerajaan menjadikan keselamatan pelancong sebagai agenda utama negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Pelancongan merupakan tonggak ekonomi kita, menyediakan mata pencarian untuk berjuta-juta rakyat dan menjadi medan bagi mempamerkan keindahan dan layanan mesra Malaysia kepada dunia.
“Bagaimanapun, seberapa banyak bilangan pantai yang bersih, mahupun bandar yang indah atau kekayaan budaya, jika pelancong merasa tidak selamat, ia akan merosakkan reputasi kita di peringkat global,” katanya kepada FMT.
Lam Thye menegaskan, keselamatan perlu dianggap sebagai komponen utama dalam semua aspek pelancongan, bukan hanya pembangunan infrastruktur, malah dalam penguatkuasaan undang-undang dan operasi harian industri secara ketat.
“Penguatkuasaan undang-undang ini perlu merangkumi semua aspek termasuk lalu lintas melibatkan had laju, pemandu mabuk, penggunaan tali pinggang keledar, topi keledar.
“Selain itu penguatkuasaan peraturan keselamatan maritim membabitkan pengendali bot pelancong dengan mengehadkan jumlah penumpang serta mewajibkan penggunaan jaket keselamatan.”
Lam Thye berkata, usaha meningkatkan keselamatan pelancongan harus melibatkan semua pihak termasuk melibatkan pengendalian pelancongan sebagai rakan kongsi aktif dalam mempromosikan dan memastikan piawaian keselamatan pengunjung.
“Kita perlu memperkasa komuniti tempatan, terutamanya di kawasan tumpuan pelancong dan kawasan pesisir pantai untuk menjadi penyokong dan pengawas amalan yang selamat,” katanya sambil menegaskan kejelasan garis panduan keselamatan dan mudah diakses untuk pelancong perlu dilaksana termasuk aktiviti jalan raya dan laut.
Katanya, kejayaan TMM2026 bukan sahaja bergantung pada kecemerlangan pemasaran, tetapi pada realiti persekitaran selamat dan terjamin.
“Kita mesti berusaha ke arah kemalangan sifar di mana semua kemalangan yang boleh dicegah, mesti dicegah. Marilah kita menjadikan Malaysia benar-benar selamat untuk rakyat dan pelawat kita,” katanya.
Media pada 1 Jan melaporkan TMM2026 membuka tirai susulan perasmian oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim di pekarangan pusat beli-belah Pavilion Bukit Bintang.
Kempen TMM2026 digerakkan berteraskan lima tonggak utama – kelestarian, warisan budaya, pengembaraan berasaskan alam semula jadi, inovasi digital, dan keterhubungan global, sebagai persediaan menyeluruh Malaysia menyambut kedatangan pelancong sepanjang tahun ini.
