
PETALING JAYA: Semua exco PAS di Perlis akan melepaskan jawatan mereka sebagai tanda solidariti susulan peletakan jawatan Shukri Ramli sebagai menteri besar.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata parti itu tidak akan menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) yang akan dibentuk menteri besar Perlis baharu.
“PAS menyeru semua pihak agar bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku, dan seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap Perikatan Nasional,” katanya dalam kenyataan.
Shukri yang juga Adun Sanglang melepaskan jawatan menteri besar pada Khamis lalu dan digantikan Adun Kuala Perlis daripada Bersatu, Abu Bakar Hamzah.
Pagi tadi, Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatan pengerusi PN berkuat kuasa 1 Jan ini.
Takiyuddin berkata, PAS bersedia menerajui PN untuk memperkasakan organisasi dan membuat persiapan menjelang PRN serta PRU16.
