Kes sisa haram: EAIC dedah pegawai JAS langgar arahan, salah guna kuasa

eaic suruhanjaya integriti agensi penguatkuasaan
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan juga merujuk hasil siasatan kepada pihak berkuasa tatatertib dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk tindakan lanjut. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlakunya ketidakpatuhan dan salah guna kedudukan beberapa pegawai Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kes pelupusan bahan terjadual secara haram di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan.

EAIC berkata pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 selepas menerima aduan terhadap beberapa pegawai di JAS Putrajaya dan JAS Negeri Sembilan berkait kes itu.

Katanya, hasil siasatan mendapati seorang pegawai pengurusan tertinggi JAS Putrajaya didapati ingkar perintah kerana mempunyai hubungan baik dengan pihak berkepentingan sehingga menimbulkan percanggahan kepentingan.

“Pegawai JAS Negeri Sembilan yang terbabit pula didapati ingkar arahan, tidak bertanggungjawab dan tidak amanah serta mempunyai hubungan baik dengan pihak berkepentingan sehingga menyebabkan campur tangan pihak luar dalam operasi dan pentadbiran JAS negeri serta pendedahan maklumat sulit.

“Pegawai terbabit juga didapati menyalahgunakan kedudukan mereka untuk mengesyorkan pemilihan jururunding,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, pegawai JAS Putrajaya dan Negeri Sembilan itu juga didapati tidak mematuhi keperluan pengisytiharan harta seperti yang ditetapkan.

EAIC berkata, sehubungan itu pihaknya memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Pihak Berkuasa Tatatertib Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai terlibat.

“Hasil siasatan juga dirujuk kepada Pihak Berkuasa Tatatertib JAS dengan mengesyorkan pegawai terlibat ditukarkan dan merujuk dapatan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya.

Pada Dis 2024, Bernama melaporkan JAS menemui antara 70 hingga 100 tong cat terpakai berkapasiti 210 liter dan kira-kira 50 tangki IBC berkapasiti 1,000 liter yang berisi minyak di Bukit Pelandok berhampiran Port Dickson.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *