
PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak pernah mengeluar dan menggunakan tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri ‘EE’.
Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli, berkata tanda indeks nombor pendaftaran kenderaan siri ‘EE’ tidak pernah diperkenal atau diluluskan jabatan itu.
“Surat kelulusan yang tular menerusi media sosial itu adalah palsu dan satu bentuk penipuan yang berpotensi mengelirukan serta memperdaya orang awam.
“Hasil siasatan awal mendapati format dan identiti surat rasmi JPJ digunakan secara tidak sah oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk penggunaan kepala surat, gaya penulisan, dan susun atur yang menyerupai dokumen rasmi JPJ,” katanya memetik Bernama.
Aedy Fadly berkata, tindakan berkenaan menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai serta menjejaskan kredibiliti jabatan.
Susulan itu, pihaknya membuat laporan polis bagi siasatan lanjut dijalankan berhubung perkara itu.
“JPJ mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran atau maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan yang meragukan serta sentiasa membuat semakan melalui saluran rasmi JPJ bagi mengelak menjadi mangsa penipuan,” katanya.
