
PETALING JAYA: Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC Malaysia) meneguhkan komitmen pada sektor kesihatan kanak-kanak dengan menyalurkan dana tambahan RM480,000 dalam bentuk geran perubatan kepada enam organisasi kebajikan berkaitan hospital.
Sumbangan ini bertujuan memastikan kanak-kanak daripada keluarga kurang berkemampuan dapat menerima penjagaan yang berpotensi menyelamatkan nyawa.
Dana terbaharu ini menyusuli geran RM300,000 yang disalurkan kepada organisasi sama pada Sept 2025, iaitu Yayasan IJN, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak Hospital USM, Tabung Kebajikan Pesakit Hospital TABTAR UKM, Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah, PPUMCare, dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia HWKKS.
“Perkataan paling sukar yang boleh diucapkan oleh ibu bapa kepada anak-anak ialah, ‘Kami tidak mampu membayar rawatan’,” kata Pengurus Besar RMHC Malaysia, Mohd Nasri Nordin.
RMHC Malaysia menyumbang lebih daripada RM2.1 juta melalui inisiatif geran perubatan ini, sejak 2018.
“Geran perubatan ini komitmen kami bahawa setiap sumbangan menjadi satu peluang untuk kanak-kanak sembuh, membesar, dan menikmati kehidupan.”
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sosial dan Kebajikan Yayasan IJN, Raja Zuraida Raja Mansur, menghargai komitmen berterusan RMHC Malaysia, mengatakan kerjasama mereka melangkaui penyediaan ‘rumah jauh dari rumah’ untuk keluarga yang memerlukan.
“Mereka membantu kami membiayai rawatan jantung kritikal dan pembedahan bagi kanak kanak yang kurang bernasib baik,” katanya.
“Kami berharap kerjasama ini dapat diperkukuhkan agar kita dapat bersama-sama memastikan setiap kanak-kanak menerima penjagaan yang mampu menyelamatkan nyawa mereka.”
Bagi Sivabalan Lecthuminadan, bapa kepada seorang penerima berusia dua tahun, Vellvilye, berkata geran perubatan RMHC Malaysia meringankan beban banyak keluarga yang berdepan kerisauan dan ketidakpastian akibat penyakit yang mengancam nyawa anak.
“Kami dan ramai lagi amat menghargai sokongan yang telah diterima terutamanya setelah melalui saat-saat sangat mencabar dalam hidup kami,” katanya.
Selain geran perubatan, RMHC Malaysia turut mengusahakan empat inisiatif lain iaitu Rumah Ronald McDonald, Bilik Sensori Ronald McDonald, Gift of Smile, dan Program Pek Kembali ke Sekolah, bagi membantu menghapuskan halangan, mengukuhkan keluarga, dan menggalakkan penyembuhan bagi kanak-kanak yang memerlukan.
