
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dijangka membentangkan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Negeri Kelantan dalam persidangan DUN pada Mac tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Asri Mat Daud, berkata ketetapan dibuat selepas rang undang-undang (RUU) berkenaan perhalusi sepenuhnya oleh jawatankuasa pelaksana yang dilantik.
“Kita telah beberapa kali bermesyuarat termasuk jawatankuasa induk yang dipengerusikan menteri besar Kelantan dan sebagai timbalan saya telah teliti segala perkara berkaitan RUU ini.
“Setakat ini, ia sudah berada pada tahap akhir selepas pertemuan dengan ahli majlis jemaah ulama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan diadakan dan sudah ubah beberapa perkara yang patut diubah.
“Kita jangka RUU ini akan dapat kita bentang dalam sidang DUN Mac tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat exco di Kompleks Kota Darulnaim.
Asri berkata RUU itu sepatutnya dibentangkan tahun ini, namun terpaksa ditangguhkan berikutan beberapa pindaan perlu dilakukan hasil teguran beberapa ahli jemaah.
Menurutnya, pindaan enakmen bukan sesuatu yang mudah dan perlu dilakukan dengan cermat agar menepati Perlembagaan.
“Pindaan semula enakmen ini kita lakukan sebaik mungkin. Dalam erti kata lain ia format terbaik yang kita lakukan dengan lebih cermat dan lebih efisien dan seolah ia susah dicabar,” katanya.
Pada Mac tahun lepas, DUN Kelantan meluluskan usul menggubal semula 16 kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 yang diisytihar batal dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb tahun lepas.
Sebelum ini, sidang sembilan hakim dipengerusikan ketua hakim negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, dalam keputusan majoriti 8-1 membuat keputusan membatalkan enakmen terbabit selepas membenarkan petisyen peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

https://shorturl.fm/218ys