
PETALING JAYA: Jawatankuasa bebas yang ditubuhkan untuk menyiasat isu dokumentasi membabitkan tujuh pemain warisan gagal menentukan secara muktamad pihak yang memalsukan dokumen.
Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, jawatankuasa diketuai bekas ketua hakim negara, Raus Sharif, berkata ia tidak dapat menentukan pihak yang memalsukan dokumen kerana notari awam yang membuat pengesahan tidak memberikan kerjasama kepada siasatan, dan ejen kepada tujuh pemain tersebut gagal dikesan meskipun usaha yang munasabah telah dilakukan.
Mengambil maklum bahawa pemalsuan adalah kesalahan jenayah, jawatankuasa itu menggesa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan yang sewajarnya untuk mengenal pasti asal usul dokumen disyaki palsu itu, dan mengenal pasti pihak bertanggungjawab.
“Apa yang jelas adalah kegagalan serius dalam pengawasan, usaha wajar, dan kawalan pentadbiran dalam pengurusan FAM, yang membolehkan kejadian ini berlaku tanpa dikesan atau campur tangan,” kata jawatankuasa itu.
Selain membuat laporan polis, jawatankuasa itu berkata FAM perlu memulihkan kredibiliti dan integriti operasi dengan mengambil tindakan disiplin dalaman yang sesuai dan melaksanakan pembaharuan struktur.
BERITA LANJUT MENYUSUL
