Pakar beza pendapat cadangan tubuh kementerian ‘jaga’ Bumiputera

public
Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepentingan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

PETALING JAYA: Pakar berbeza pendapat mengenai penubuhan kementerian baharu untuk menjaga kepentingan Bumiputera seperti dicadangkan bekas speaker Dewan Negara Rais Yatim.

Pengarah Pusat Penyelidikan Dasar, Universiti Sains Malaysia, Azeem Fazwan Ahmad Farouk, berkata lebih baik utamakan penyelarasan antara agensi sedia ada daripada melaksanakan cadangan itu.

Katanya, apa yang perlu dilakukan adalah penyelarasan supaya tidak berlaku pertindihan fungsi dan bagi mengatasi kecelaruan dalam pelaksanaan dasar.

“Agensi seperti Mara (Majlis Amanah Rakyat) dan Teraju (Unit Peneraju Agenda Bumiputera bawah Jabatan Perdana Menteri) sudah memainkan peranan penting dalam pembangunan Bumiputera.

Azeem Fazwan Ahmad Farouk
Azeem Fazwan Ahmad Farouk.

“Penubuhan kementerian baru tidak perlu kerana sudah ada terlalu banyak agensi,” katanya kepada FMT.

Rais mencadangkan penubuhan Kementerian Pembangunan Bumiputera ketika Konvensyen Melayu 153 yang dirasmikan bekas perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Sabtu lalu, sebagai langkah untuk memperkukuh kedudukan golongan itu dalam ekonomi negara.

Cadangan itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, yang berkata kementerian tersebut perlu berfungsi sebagai pusat penyelarasan dasar dan pemantauan prestasi, dengan fokus utama pada pembangunan jangka panjang Bumiputera termasuk pendidikan, keusahawanan dan pemilikan aset.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara yang menyokong cadangan tersebut berpendapat ia penting untuk mengatasi pelbagai interpretasi mengenai pelaksanaan Artikel 153 yang sering bergantung kepada parti memerintah.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kepentingan untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata, bagi mengelakkan kebergantungan kepada siapa yang memerintah, kementerian itu perlu diwujudkan secepat mungkin supaya dasar lebih konsisten dapat dilaksanakan tanpa halangan interpretasi.

“Pelaksanaan Artikel 153 banyak bergantung kepada parti yang memerintah. Ketidaktentuan dalam pelaksanaan dasar Bumiputera sering menimbulkan masalah, terutama kerana kuasa Melayu semakin ‘terhakis’ dalam pemerintahan,” katanya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *