
PETALING JAYA: Situasi banjir di negeri terjejas dilaporkan semakin pulih apabila jumlah mangsa merekodkan penurunan kepada 991 orang berbanding 1,539 mangsa yang direkodkan pagi semalam.
Berdasarkan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), semua mangsa terbabit masih berlindung di 18 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di tujuh negeri, menurut Harian Metro.
Semua PPS yang beroperasi itu membabitkan tujuh di Perak, empat di Terengganu, diikuti Selangor dan Sarawak masing-masing dua serta Kelantan, Pahang dan Sabah masing-masing satu.
Mangsa banjir itu terdiri daripada 329 lelaki dan 309 perempuan, manakala 329 kanak-kanak, 24 bayi, 124 warga emas dan 25 orang kurang upaya (OKU).
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di empat negeri.
Cuaca buruk itu diramal berlaku di seluruh Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Perak (Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak) dan Sarawak: Kapit (Belaga) dan Miri (Telang Usan).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” katanya.
