Masa untuk tubuh kementerian khusus untuk PMKS, kata Ahli Parlimen

Lee Chean Chung
Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung berkata semua jabatan dan agensi kerajaan yang melibatkan PMKS perlu diletakkan di bawah satu kementerian dan bukannya melibatkan beberapa kementerian.

PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen kerajaan menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim menubuhkan sebuah kementerian khusus untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rombakan Jemaah Menteri.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung, menegaskan bahawa PMKS menyumbang RM652 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu, iaitu kira-kira 39.5% dan menggaji sekitar 50% tenaga kerja Malaysia.

Namun, Lee berkata sektor itu telah lama berdepan pengabaian dan dasar-dasar yang berpecah-pecah, sehingga menyebabkan pengusaha PMKS merasakan Putrajaya tidak memberi perhatian yang mencukupi untuk menyokong mereka.

Ahli jawatankuasa pusat PKR itu berkata keadaan ini menimbulkan persoalan sama ada kementerian dan agensi kerajaan benar-benar memberi perhatian kepada realiti operasi mereka.

Bagi menangani isu itu, Lee mencadangkan semua jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan PMKS disatukan di bawah satu kementerian dan tidak lagi diletakkan di bawah kementerian yang berbeza-beza.

Pada masa ini, urusan PMKS melibatkan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah; serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

“Hanya dengan mempunyai sebuah kementerian khusus, sejarah pengabaian terhadap PMKS dapat dipulihkan secara sistematik dan barulah perusahaan kecil ini akhirnya mempunyai suara dalam Kabinet.

“Jika ada satu perkara yang boleh dilakukan oleh perdana menteri untuk menunjukkan bahawa kerajaan Madani benar-benar prihatin dan bertindak terhadap keluhan perusahaan kecil, ia adalah dengan mewujudkan sebuah kementerian PMKS khusus dalam rombakan Jemaah Menteri akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *