11 maut ditembak di Pretoria, 3 suspek diburu

Tiga lelaki bersenjata tidak dikenali menceroboh bangunan hostel itu dan melepaskan tembakan rambang. (Gambar EPA Images)

JOHANNESBURG: Seramai 11 terbunuh, manakala 14 lagi cedera dalam insiden tembakan awal pagi Sabtu di sebuah hostel di Pretoria, ibu negara pentadbiran Afrika Selatan, lapor Xinhua memetik polis tempatan.

Jurucakap Perkhidmatan Polis Afrika Selatan (SAPS) Athlenda Mathe, berkata 10 mangsa maut di lokasi kejadian di Saulsville, Atteridgeville, manakala seorang lagi meninggal dunia akibat kecederaan ditembak ketika dirawat di hospital. Seramai 14 mangsa lain sedang menerima rawatan perubatan.

Mangsa turut merangkumi seorang kanak-kanak berusia tiga tahun dan dua remaja berusia 12 dan 16 tahun, katanya.

Menurut SAPS, kejadian berlaku sekitar 4.15 pagi waktu tempatan apabila sekurang-kurangnya tiga lelaki bersenjata yang tidak dikenali menceroboh bangunan itu dan melepaskan tembakan rambang.

Pihak berkuasa belum mengesahkan motif serangan tersebut. SAPS berkata siasatan rapi sedang dijalankan dan menggesa penduduk berwaspada sementara polis meneruskan usaha mengesan suspek.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *