
KOTA KINABALU: Kerajaan persekutuan dan Sabah akan memulakan pemantauan bulanan terhadap semua projek air, elektrik dan jalan raya di negeri itu mulai bulan depan.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata pendekatan baharu itu penting bagi memastikan isu asas seperti bekalan air dan elektrik serta keadaan jalan raya belum memuaskan di beberapa kawasan dapat diselesaikan tanpa berlengah, sekali gus mengurangkan masalah kelewatan projek.
Beliau berkata, pemantauan itu merangkumi projek di bawah kerajaan persekutuan dan negeri, termasuk projek pembaikan sekolah, infrastruktur kampung, Pan Borneo dan kerja naik taraf kritikal lain.
“Saya dah cadangkan pada jawatankuasa di Jabatan Perdana Menteri, mulai Januari kita akan mulakan pemantauan projek bersama kerajaan negeri. Mana-mana projek kerajaan negeri dan persekutuan kita tinjau kemajuannya, pantau setiap bulan.”
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri I Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri II Masidi Manjun, Timbalan Ketua Menteri III Ewon Benedick serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Armizan Mohd Ali.
Anwar berkata, sistem pemantauan bersama yang turut melibatkan pegawai daerah, agensi pembangunan negeri dan persekutuan itu akan memastikan ratusan projek dirancang dapat dilaksanakan lebih pantas.
Menurutnya, keutamaan kerajaan adalah memastikan setiap komitmen pembangunan tidak sekadar pengumuman, sebaliknya benar-benar diterjemahkan melalui tindakan.
Beliau turut mengarahkan tiada lagi penangguhan dalam kelulusan projek persekutuan di Sabah.
Dalam perkembangan lain, Anwar berkata, sepanjang dua hari di Sabah semasa PRN, beliau berpeluang meninjau keadaan di lapangan serta menemui ramai tokoh tempatan yang membolehkan kerajaan memahami kekuatan pelbagai suku kaum dan menilai langkah sesuai bagi meningkatkan usaha pembangunan negeri.
Katanya, beliau memilih ke Sabah sejurus selepas PRN bagi menepis persepsi ahli politik hanya berjanji semasa pilihan raya, tetapi menjadi selesa setelah menang.
Beliau berkata, kerajaan perlu membuktikan kesungguhan sejak awal dengan segera turun padang dan melaksanakan amanah rakyat.
