Kekalahan DAP Sabah tak untungkan kami, kata pemimpin MCA

Mah Hang Soon
Timbalan Presiden MCA Dr Mah Hang Soon bertanya sama ada parti itu sedia menghadapi gelombang politik baharu dengan perkembangan dan konfigurasi politik sedang berlaku. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon mengingatkan partinya supaya tidak menganggap kekalahan besar DAP dalam PRN Sabah sebagai kemenangan untuk MCA.

Katanya, parti komponen Barisan Nasional itu perlu matang dan tidak seronok dengan kekalahan lebih besar daripada apa yang dialami MCA.

Sebaliknya, beliau menggesa MCA mencari formula kemenangan baharu dan merangka hala tuju realistik menjelang PRU16.

“Kita tidak patut anggap apa-apa yang merugikan lawan tradisi kita secara automatik menguntungkan kita. Kita juga perlu tanya diri: dengan adanya kuasa baharu, perkembangan dan konfigurasi politik baharu, adakah kita bersedia hadapi arus baharu yang lebih kuat?

“Walaupun gelombang besar menentang kerajaan semasa mungkin mula terbentuk, adakah kita bersedia untuk menunggang gelombang itu?” katanya menurut The Star pada Perhimpunan Agung Pemuda MCA.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA, Ling Tian Soon dipetik New Straits Times berkata, parti itu perlu mempertimbangkan untuk keluar daripada kerajaan jika terus diketepikan Putrajaya atau janji kepada masyarakat Cina tidak ditunaikan

Tegasnya, layanan adil kepada semua komuniti adalah penting bagi masyarakat Cina dan MCA perlu meninggalkan blok kerajaan, jika Putrajaya gagal mendukung perkara itu.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *