Lantik Terrirudin ke JAC prerogatif PM, kata ketua hakim negara

Ketua Hakim Negara Wan Ahmad Farid Wan Salleh kata akta beri prerogatif kepada PM untuk lantik ahli kelima dari mahkamah tertinggi ke JAC.

PUTRAJAYA: Pelantikan Hakim Mahkamah Persekutuan, Ahmad Terrirudin Salleh, ke Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) adalah atas budi bicara perdana menteri dan tidak boleh dicabar, kata ketua hakim negara.

Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Akta JAC memberikan prerogatif kepada perdana menteri untuk melantik ahli kelima dari mahkamah tertinggi ke badan sembilan anggota itu, tanpa perlu berunding dengan suruhanjaya tersebut.

“Saya tidak boleh persoalkan, dan tiada sesiapa pun boleh mempersoalkan kerana itu kuasanya. Jadi kami menerima seadanya.

“Oleh itu, beliau (Terrirudin) kini salah seorang daripada sembilan ahli suruhanjaya. Beliau menghadiri mesyuarat lepas, dan kami perlu teruskan,” katanya kepada pemberita dalam satu temu bual sempena 100 hari beliau memegang jawatan sebagai ketua badan kehakiman.

Pelantikan Terrirudin, berkuat kuasa bulan lalu, berbeza dengan amalan lama yang memberikan kekosongan itu kepada hakim kanan di mahkamah tertinggi.

Sebelum ini, Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Hakam) menggesa kerajaan menjelaskan pemilihan Terrirudin, berbanding Rhodzariah Bujang, seorang hakim yang lebih senior.

Begitu juga, Badan Peguam Malaysia menuntut lebih ketelusan mengenai pertimbangan di sebalik pelantikan itu.

Terrirudin, 57, merupakan peguam negara sebelum naik ke Mahkamah Persekutuan setahun yang lalu.

Wan Ahmad Farid berkata Terrirudin mesti dinilai berdasarkan tingkah laku di mahkamah dan keputusan undang-undang, bukan sejarahnya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *