Bung sahabat sejati begitu dekat di hati, kata Zahid

Zahid Hamidi berkata kehilangan Bung Moktar Radin amat dirasai kerana Allahyarham disifatkan sebagai rakan seperjuangan sentiasa teguh di sisi dan bersama saat susah mahupun senang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Presiden Umno Zahid Hamidi menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Bung Moktar Radin awal pagi tadi yang disifatkannya sebagai kehilangan seorang sahabat sejati.

Beliau berkata, pemergian ketua Umno Sabah amat dirasai kerana Allahyarham disifatkan sebagai rakan seperjuangan yang sentiasa teguh di sisi dan bersama pada setiap susah mahupun senang.

“Ya Allah…Luluh hati saya saat menerima khabar pemergian sahabat saya, Bung Moktar Radin yang telah kembali ke Rahmatullah pada awal pagi Jumaat yang penuh kemuliaan ini.

“Hari ini, saya kehilangan seorang sahabat sejati yang begitu dekat di hati, seorang rakan seperjuangan yang sentiasa teguh berdiri di sisi dan seorang insan yang sentiasa setia menemani di setiap waktu senang dan susah.

“Sukar untuk saya mencari kata yang mampu menggambarkan rasa kehilangan ini. Yang tinggal hanyalah doa, mengiringi segala kenangan dan kebaikan yang telah beliau tinggalkan buat kami di dunia ini,” katanya di Facebook.

Timbalan perdana menteri berkata, seluruh kepimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) bersama rakyat khususnya di Sabah turut berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman.

“Salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga kalian dikurniakan ketabahan, ketenangan dan kekuatan dalam melalui saat yang amat berat ini,” kata pengerusi BN.

Sementara itu, Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir, berkata Allahyarham banyak berkorban dan menyumbang kepada Sabah serta negara.

“Terima kasih atas segala jasa, pengorbanan dan sumbangan kepada rakyat, negeri Sabah dan negara.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham. Semoga mereka dikurniakan ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini. Didoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin serta orang yang beriman,” katanya di Facebook.

Bung, 66, yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, Sabah, pada 1.46 pagi tadi.

Pada PRN Sabah ke-17 Sabtu lalu beliau mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *