
PUTRAJAYA: Pemandu ambulans mengendalikan kes kecemasan tidak boleh dibebaskan daripada liabiliti apabila berdepan saman kecuaian, putus Mahkamah Rayuan.
Hakim Wong Kian Kheong, berkata Peraturan-peraturan Lalu Lintas Jalan 1959 tidak memberikan kekebalan, walaupun peruntukan itu menghendaki pengguna jalan raya lain memberi laluan kepada ambulans, jentera bomba, kenderaan kastam, polis, dan penjara.
Kaedah 9(1) menyatakan kenderaan berkenaan diutamakan berbanding pengguna jalan raya lain apabila menggunakan siren, loceng, atau hon dua nada. Kaedah 9(2) seterusnya menyatakan semua trafik lain, selepas diberi amaran tentang kedekatan kenderaan sedemikian, hendaklah bergerak ke kiri dan kekal tidak bergerak untuk memberikan laluan yang lapang.
Wong, yang mengetuai panel tiga hakim, membuat kenyataan tersebut ketika membenarkan rayuan seorang pekerja penghantaran makanan segera untuk meningkatkan kuantum dalam tuntutan kecederaan peribadi ke atas kerajaan, berikutan perlanggaran dengan ambulans Kementerian Kesihatan, empat tahun lalu.
“Mahkamah Tinggi terkhilaf dalam mengaplikasikan Kaedah 9(2) dalam kes ini kerana ambulans berada di hadapan penunggang motosikal,” kata Wong yang bersidang bersama Hakim Alwi Abdul Wahab dan Evrol Mariette Peters.
Motosikal ditunggang Uzair Haqimi Zainuddin, bertembung dengan bahagian hadapan kanan ambulans apabila kenderaan itu membuat pusingan melawan arus trafik.
Panel itu memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM42,327.50 kepadanya selepas potongan 50% memandangkan penunggang berkenaan juga sebahagiannya bersalah. Dia juga dianugerahkan kos guaman RM30,000.
Peguam Kuthubul Zaman Bukhari dan Aimi Syarizad Kuthubul Zaman mewakili perayu, manakala Peguam Persekutuan Nur Najiha Hamidi, Suhana Sabil, dan Intan Azira Hussin hadir bagi pihak kerajaan.
Fakta kes mendedahkan pemandu ambulans dan kakitangan paramedik dari Hospital Kulai di Johor dalam perjalanan mengambil seorang pesakit yang mengalami masalah pernafasan. Uzair, 24, memberi laluan kepada ambulans itu, namun mengikut dari jarak yang dekat.
Mulanya, ambulans itu membelok ke kiri dan kemudian ke kanan, melawan arus trafik di Jalan Persiaran Indahpura Utama di Kulai Jaya kira-kira 9.30 malam pada 28 Feb 2021. Penunggang motosikal itu melanggar bahagian hadapan kanan ambulans, sekali gus mengalami retak bahu, dan diberi cuti sakit selama 21 hari.
Beliau memfailkan tuntutan kecederaan peribadi terhadap pemandu ambulans, ketua pengarah Kementerian Kesihatan, dan kerajaan.
Selepas perbicaraan, Uzair dianugerahkan RM10,050 selepas potongan 70% kerana penyumbang kecuaian.
Mahkamah Tinggi kemudiannya mengurangkan jumlah itu kepada RM8,250 selepas rayuan kerajaan. Uzair seterusnya memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan.
