Hanya 18% tangguh terima tawaran haji sejak 2015

kaabah mekah haji
Timbalan Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Hasan berkata kuota tahunan rasmi negara sebanyak 31,600 jemaah haji yang diberikan Arab Saudi sentiasa dipenuhi 100% setiap tahun. (Gambar EPA Images)

KUALA LUMPUR: Hanya 18% bakal jemaah haji dalam giliran mengambil keputusan menangguhkan tawaran Lembaga Tabung Haji (TH) sejak 2015, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kuota tahunan rasmi negara sebanyak 31,600 jemaah haji yang diberikan kerajaan Arab Saudi sentiasa dipenuhi 100% setiap tahun.

Menurutnya, setiap kekosongan akibat penangguhan penerimaan tawaran akan diganti serta-merta melalui senarai permohonan rayuan untuk menunaikan ibadah itu dalam aplikasi THiJARI, sekali gus membantu TH memastikan kuota haji rasmi dimanfaatkan sepenuhnya setiap tahun.

“Tahun ini, TH menerima lebih 84,000 permohonan rayuan mengerjakan ibadat haji,” katanya menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah pendeposit TH menolak tawaran menunaikan haji dan apakah alasan penolakan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, penangguhan penerimaan tawaran menunaikan haji bukan atas faktor kewangan bakal jemaah semata-mata, sebaliknya turut berpunca daripada faktor peribadi yang menyumbang kepada 31% penolakan, selain 20% akibat soal kesihatan.

“Bagi mengurangkan risiko pembatalan saat akhir, TH mengeluarkan peringatan awal kepada bakal jemaah melalui SMS, e-mel, media dan THiJARI supaya persediaan kesihatan dilakukan lebih awal, selain memastikan penilaian istita’ah (kemampuan) kekal ketat supaya hanya jemaah benar-benar bersedia ditawarkan.”

Beliau turut memaklumkan prestasi jumlah deposit di TH terus menunjukkan peningkatan kepada RM93.35 bilion setakat bulan lalu berbanding RM75.9 bilion pada 31 Dis 2020.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *