
PETALING JAYA: DAP Sarawak mempunyai sebab untuk bimbang susulan kekalahan menyeluruh parti itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang baru berakhir, lebih-lebih lagi PRN Sarawak sendiri semakin hampir, kata seorang penganalisis politik.
Jayum Jawan dari Universiti Malaysia Sarawak berkata walaupun DAP sudah lama menjadi pembangkang utama di Sarawak, parti itu dilihat ‘gagal mencapai prestasi memuaskan’ dalam memperjuangkan kepentingan komuniti Cina.

Sebagai contoh, katanya, DAP tidak boleh mendakwa kejayaan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di Sarawak.
“UEC diiktiraf di Sarawak dan tidak lama lagi di Sabah, tetapi bukan kerana (DAP),” katanya.
Sebaliknya, Jayum mengaitkan pengiktirafan UEC di Sarawak kepada Premier Abang Johari Openg manakala di Sabah pula oleh Ketua Menterinya Hajiji Noor yang berjanji mengiktirafnya jika kembali berkuasa.
Jayum menambah kegagalan DAP mendapatkan pengiktirafan UEC di peringkat nasional – yang diambil pelajar sekolah menengah Cina persendirian – turut menjejaskan kedudukan parti itu.
“Di Sarawak, DAP dilihat seperti parti tanpa taring. Mereka berada dalam kerajaan persekutuan tetapi peranan pimpinan mereka dalam kerajaan (negeri) disekat oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya kepada FMT.
Jayum juga menegaskan tiada seorang pun wakil Sabah atau Sarawak memegang lima jawatan menteri yang diperuntukkan kepada DAP dalam Kabinet Persekutuan.
Beliau berkata masyarakat Cina di Sarawak kelihatan lebih selesa dengan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), parti berasaskan Cina dalam kerajaan negeri.
“SUPP berada dalam keadaan baik di bawah (Presiden) Dr Sim Kui Hian. Timbalan premier itu dihormati oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), tulang belakang GPS,” katanya sambil menambah sokongan daripada komuniti Melayu-Melanau membolehkan Sim menyuarakan kepentingan masyarakat Cina dalam gabungan dan kerajaan.
“Kesabaran rakyat ada hadnya. Sentimen dahulu melonjakkan DAP ke puncak akan menjadi gelombang yang menenggelamkan parti itu.”
DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya dalam PRN Sabah, termasuk enam kerusi kubu kuat, dan kini tidak mempunyai sebarang wakil dalam DUN Sabah.
Populariti DAP Sarawak juga dilihat merosot, daripada 12 kerusi negeri pada 2011 kepada hanya dua kerusi sedekad kemudian.
Dalam PRN Sarawak 2021, DAP kehilangan status sebagai parti pembangkang terbesar di DUN kepada Parti Sarawak Bersatu (PSB) pimpinan Wong Soon Koh, yang memenangi empat kerusi.
PSB kemudian dibubarkan dan diserap ke dalam Parti Demokratik Progresif (PDP), komponen GPS, membolehkan Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen kembali menjadi ketua pembangkang negeri.
DAP ada lebih banyak peluang
James Chin dari Universiti Tasmania bagaimanapun percaya DAP Sarawak mempunyai lebih banyak untuk diperoleh daripada kehilangan dalam PRN akan datang, terutamanya dengan pertambahan kerusi DUN yang dijangka tertumpu di kawasan bandar.

Ini, katanya, memberi parti itu lebih banyak kerusi yang boleh dimenangi.
Chin menambah masih terlalu awal untuk menentukan sama ada masyarakat Cina Sarawak mempunyai sentimen sama seperti masyarakat Cina Sabah, namun mengakui ‘tanda-tandanya sudah ada’.
Dengan PRN Sarawak perlu diadakan selewat-lewatnya April 2027, Chin berkata DAP masih mempunyai masa mencukupi untuk memenuhi harapan politik masyarakat Cina.
“Perkara seperti ini boleh berubah dengan cepat,” katanya.
Bagaimanapun, Chin berkata pemimpin DAP Sarawak tetap berdepan soalan sukar yang membelit DAP Sabah: mengapa mahu mewakili sebuah parti dari Semenanjung?
“Orang Cina memberitahu mereka: ‘Ya, kamu mahu perjuangkan kami, itu baik. Tapi tubuhlah parti tempatan sendiri.’”

https://shorturl.fm/2rX3a