Bukit Aman ambil alih siasatan kes polis Melaka tembak mati 3 lelaki

m kumar
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar beri jaminan siasatan akan dijalankan secara telus, adil dan profesional bagi memastikan keadilan ditegakkan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Bukit Aman mengambil alih siasatan sepenuhnya kes tiga lelaki yang ditembak mati oleh polis di Durian Tunggal, Melaka bulan lalu selepas keluarga suspek mendakwa mereka dibunuh ala ‘execution style’.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar berkata satu pasukan khas akan ditubuhkan untuk mengambil alih siasatan termasuk menyiasat laporan polis yang dibuat keluarga ketiga-tiga suspek.

“Hari ini, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menerima laporan daripada keluarga ketiga-tiga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis dalam kejadian tersebut.

“Kami memberi jaminan bahawa siasatan secara telus, adil dan profesional akan dijalankan berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu hari ini, peguam mewakili keluarga tiga lelaki yang ditembak mati itu menuntut Bukit Aman menyiasat kematian tersebut, mendakwa mangsa dibunuh ‘execution style’ berdasarkan bukti audio dan forensik.

Ketiga-tiga mereka – M Puspanathan, 21, T Poovaneswaran, 24, dan G Logeswaran, 29 – ditembak mati pada 24 Nov lepas. Polis mendakwa mereka merupakan perompak bersiri yang menyerang seorang anggota bertugas menggunakan parang.

Bagaimanapun, pada sidang media hari ini, pasukan peguam keluarga terbabit mendedahkan rakaman audio berdurasi 13 minit dirakam semasa kejadian, yang didakwa bercanggah dengan naratif polis.

Pada 24 Nov, Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis cuba menahan tiga lelaki tersebut di sebuah ladang kelapa sawit sekitar 4 pagi apabila salah seorang suspek melibas parang ke arah anggota polis.

Beliau berkata, serangan yang berpotensi membawa maut itu menyebabkan anggota tersebut cedera parah di tangan kiri.

Susulan itu, katanya, polis ‘tiada pilihan selain melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri’, mengorbankan ketiga-tiga suspek di tempat kejadian.

Dzulkhairi berkata kumpulan tiga lelaki itu, yang dikenali sebagai ‘Geng DT’, disyaki terlibat dalam kira-kira 20 kes rompak rumah, kilang dan restoran sejak 2004, membabitkan kerugian berjumlah RM1.3 juta.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *