
PETALING JAYA: Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) akan menganjurkan ‘Konvensyen Rakyat – Selamatkan Malaysia’ pada awal tahun depan, untuk membincangkan dasar ekonomi, sistem pendidikan, keselamatan negara, dan perpaduan rakyat.
Sekretariatnya, Azmin Ali, berkata konvensyen yang turut menyentuh kos sara hidup, penekanan nilai murni, dan perpaduan melalui kerangka dasar yang komprehensif akan melibatkan semua anggota IPR.
Konvensyen ini diumumkan Azmin susulan mesyuarat IPR yang dipengerusikan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, petang tadi, yang antara lain membincangkan trend sokongan rakyat Sabah pada PRN Sabah ke-17.
Menurutnya, keputusan pengundi Cina menolak DAP adalah isyarat bahawa rakyat mahukan ‘perubahan yang signifikan untuk menjamin masa depan Malaysia’.
“IPR bersedia untuk menawarkan kebijakan dan dasar yang progresif bagi menjana pertumbuhan ekonomi yang membawa kemakmuran dan kesejahteraan untuk semua,” katanya.
DAP menyaksikan semua calonnya tewas pada pilihan raya Sabtu lalu, Enam kerusi yang dipertahankan, iaitu Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong jatuh ke tangan Warisan.
IPR merupakan gabungan longgar parti-parti politik di luar blok kerajaan, dianggotai oleh komponen Perikatan Nasional, serta Muda, Berjasa, Pejuang, Putra, Parti Kemajuan Malaysia, Parti Perikatan India Muslim Nasional, dan Parti Bersepakat Untuk Hak Rakyat Malaysia.
