
PETALING JAYA: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2026 menyasarkan empat juta pengunjung, 2,000 peserta pameran dan transaksi jualan sebanyak RM58 juta.
Pameran dwitahunan itu akan diadakan pada 28 Ogos hingga 6 Sept tahun depan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata, antara pengisian utama pada edisi kali ini ialah Pavilion Negeri, pameran teknologi pertanian tempatan dan antarabangsa, persembahan laser dan air, agrosafari dan pelbagai segmen lain yang berimpak tinggi.
“Keseluruhan pengalaman ini bukan sahaja memberi pengetahuan dan pendedahan baharu kepada pengunjung namun turut menyemarakkan minat serta membina kesedaran masyarakat, khususnya golongan muda untuk menceburi bidang pertanian,” katanya ketika berucap pada Majlis Prapelancaran Maha 2026 di Maeps hari ini.
Maha 2026 mengangkat tema ‘Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan’ yang menampilkan visi Malaysia membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.
Dalam ucapannya hari ini, Mohamad berkata, penganjuran Maha 2026 dilihat penting sebagai antara usaha menarik minat anak muda menceburi bidang pertanian.
Menurutnya, hasil dapatan Banci Pertanian 2024 menunjukkan 45% penggiat sektor pertanian terdiri daripada golongan berusia 60 tahun ke atas, manakala hanya 3% dalam lingkungan umur 15 hingga 30 tahun.
Jurang generasi itu membimbangkan, katanya, dan memerlukan perhatian segera dan penumpuan khusus.
“Kita mahu pada masa hadapan, Malaysia menjadi antara pengeluar utama makanan di rantau ini. Justeru, penglibatan lebih ramai generasi muda perlu digerakkan dari sekarang termasuk di Maha 2026,” katanya.
Beliau berkata, pempamer luar negara turut dijemput menyertai Maha 2026 dan digalakkan menjalin kerjasama dengan syarikat tempatan, terutamanya dari segi pemindahan teknologi.
Mengimbau kejayaan Maha 2024, Mohamad berkata, 5.5 juta pengunjung hadir, jauh melepasi sasaran awal sebanyak tiga juta orang.
Edisi 2024 itu turut mencatatkan prestasi membanggakan apabila nilai jualan langsung mencapai RM48.5 juta, tambahnya.
“Pencapaian ini membuktikan bahawa Maha bukan sekadar pameran, tetapi sebuah platform strategik yang berupaya menggerakkan ekosistem agromakanan negara ke tahap lebih tinggi.
“Penganjuran Maha 2026 dan program-program Road to Maha 2026 akan menekankan nilai Malaysia Madani, iaitu bukan sekadar mempamerkan kehebatan teknologi dan kemampuan sektor agromakanan negara, tetapi turut mengiktiraf komitmen, ketabahan dan usaha gigih petani, nelayan dan penternak,” katanya.
