Beri mangsa banjir RM3,000, gesa Adun kerajaan

banjir sepang
Seramai 750 keluarga di Selangor berdaftar di lima pusat pemindahan sementara akibat banjir baru-baru ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang wakil rakyat kerajaan menggesa bantuan tunai kepada mangsa terjejas teruk akibat banjir di Selangor dinaikkan kerana jumlah sedia ada tidak mencukupi untuk menampung kerugian dialami.

Adun Kota Kemuning daripada Pakatan Harapan (PH), S Preakas, mencadangkan ia dinaikkan kepada RM3,000 bagi membantu mangsa membaiki kerosakan harta-benda mereka.

Katanya, ramai penduduk mengeluh kerana kerugian ditanggung tidak setimpal dengan bantuan diterima.

“Kerajaan pusat melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi RM1,000 dan kerajaan Selangor bagi RM500 kepada setiap keluarga mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

S Preakas.
S Preakas.

“Tingkatkan lagi jumlah bantuan itu kerana ia tidak mencukupi,” kata Adun DAP kepada FMT.

Pada 25 Nov lalu Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, memaklumkan bantuan RM500 akan disalurkan kepada 750 keluarga disahkan berdaftar di PPS di daerah terkesan iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Langat, Petaling dan Klang.

Sementara itu, Preakas turut menggesa kerajaan mewujudkan skim insurans bencana khas untuk kawasan ‘hotspot’ banjir.

Katanya, skim itu amat diperlukan terutama bagi golongan berpendapatan rendah (B40) yang tidak mampu mendapatkan insurans persendirian.

“Selangor tiada lagi (skim insurans individu), dan golongan B40 tidak mampu. Buat skim insuran kepada mereka. Saya sudah bawa perkara ini kepada kerajaan negeri semasa perbahasan di DUN baru-baru ini,” katanya.

Beliau juga berharap dengan kenaikan bantuan tunai yang lebih realistik dan pengenalan skim insurans tersebut, penduduk di kawasan banjir tidak perlu lagi menanggung kerugian besar bersendirian setiap kali bencana melanda.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *