Bersih khuatir ‘undi tak seimbang’ jika SPR diberi kuasa kemas kini alamat pengundi

pengundi muda young voter
Bulan lalu SPR mencadangkan pembaharuan struktur yang akan memberinya kuasa mengemas kini alamat mengundi pengundi selaras tertera pada MyKad.

PETALING JAYA: Kumpulan reformasi pilihan raya khuatir jika Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diberi kuasa mengemas kini alamat pengundi mengikut MyKad, ia akan memburukkan lagi isu kepadatan pengundi bandar.

Pengerusi Bersih, Faisal Abdul Aziz, berkata malah ia akan menyebabkan ‘undi tak seimbang’ antara kawasan bandar dan luar bandar.

Faisal Abdul Aziz.

Justeru, beliau mengingatkan sebarang cadangan perubahan kuasa perlu diteliti secara mendalam sebelum dilaksanakan.

“Pengundi bandar yang sangat padat ketika ini akan bertambah padat jika ia dilaksanakan. Ini memandangkan ramai pengundi kini duduk di kawasan bandar atas faktor pekerjaan dan lain-lain.

“…dan kini kita berdepan isu pengundi tidak sekata antara kawasan bandar dan luar bandar. Contohnya, terdapat lebih 300,000 pengundi di Parlimen Bangi berbanding Sabak Bernam (sekitar 50,000) di Selangor, Igan (sekitar 30,000) di Sarawak dan negeri lain,” katanya kepada FMT.

Bulan lalu, SPR mencadangkan pembaharuan struktur yang akan memberinya kuasa mengemas kini alamat mengundi pengundi selaras tertera pada MyKad, dalam usaha memperkukuh sistem pengundian berasaskan kediaman.

Faizal berkata, ketidakseimbangan tersebut akan lebih ‘parah’ sehingga menyebabkan ketidakadilan dan menghakis kuasa pengundi di bandar.

“Jika undi tidak sekata ini tidak diatasi, kedudukan integriti pilihan raya kita akan bertambah buruk dan jatuh,” katanya memetik statistik Projek Integriti Pilihan Raya pada 2022 yang menunjukkan skor bagi kategori sempadan pilihan raya Malaysia yang amat rendah iaitu 30.95.

Sementara itu, Faisal menggesa persempadanan semula berasaskan prinsip ‘one person, one vote, one value’ diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan kuasa dilaksanakan.

“Dalam erti kata lain kepadatan pengundi bandar harus diatasi dengan menambah jumlah kerusi Parlimen bagi memastikan wujud keseimbangan jumlah pengundi bandar dan luar bandar,” katanya.

Katanya, batasan undang-undang sedia ada menyebabkan rekod pengundi tidak dikemas kini, termasuk kes individu masih berdaftar di blok kediaman di Kuala Lumpur yang dirobohkan beberapa dekad lalu, sekali gus menjejaskan gambaran sebenar kawasan pilihan raya.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *