
PETALING JAYA: Aliakbar Gulasan akan berbincang bersama pimpinan tertinggi mengenai jalan terbaik untuk Perikatan Nasional (PN) selepas memenangi kerusi sulung PAS di DUN Karambunai pada PRN Sabah, Sabtu lalu.
“Kami akan terus berbincang jalan terbaik untuk PN selepas dapat satu kerusi,” katanya kepada FMT.
Pesuruhjaya PAS Sabah mengulas sama ada akan terus menyokong pentadbiran Hajiji Noor sebagai ketua menteri seperti sebelum ini.
Aliakbar yang juga naib pengerusi PN Sabah adalah Adun dilantik oleh kerajaan negeri selepas PRN 2020.
Terdahulu, Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, berkata pihaknya perlu mendapatkan pandangan PAS sebelum menentukan sama ada menyokong pentadbiran Hajiji atau menjadi pembangkang.
Penganalisis Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpendapat, kemenangan bersejarah PAS dalam PRN Sabah disebabkan personaliti mesra Aliakbar, serta keupayaannya menggerakkan sokongan akar umbi secara konsisten sejak 2020.
Katanya, Aliakbar bekerja keras di peringkat akar umbi sepanjang lima tahun ini, berusaha mendekati dan menembusi komuniti setempat selain personalitinya disenangi ramai termasuk bukan Islam.
Pertembungan 11 penjuru di Karambunai menyaksikan Aliakbar yang bertanding atas tiket PN meraih 7,054 undi, mengatasi Warisan (6,689), Gabungan Rakyat Sabah (4,818), dan Barisan Nasional (4,475), lalu menang dengan majoriti 365 undi.
