Leftenan Kolonel didakwa minta rasuah elak lapor seludup rokok

mahkamah sesyen majistret johor bahru
Tertuduh, Kamarulzaman Ali, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan meminta rasuah ‘trip’ penyeludupan rokok, tiga tahun lalu. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang pegawai kanan tentera berpangkat Leftenan Kolonel dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan meminta rasuah ‘trip’ penyeludupan rokok, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Kamarulzaman Ali, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail, menurut Harian Metro.

Berdasarkan kertas pertuduhan, dia sebagai ketua Cawangan Rancang dan Kempen Gerak Saraf Perang Saraf di Pertubuhan Perisikan Pertahanan Malaysia secara rasuah meminta suatu suapan iaitu wang tunai berjumlah RM1,500 untuk setiap ‘trip’ penyeludupan rokok yang berjaya mendarat di perairan selatan Johor, daripada dua individu.

Tindakan itu sebagai suatu dorongan agar tertuduh tidak melaporkan aktiviti penyeludupan rokok di daerah Kota Tinggi, yang sepatutnya dilaporkan mengikut tugasannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah warung di Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi, sekitar Oktober 2022.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali jumlah suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM ‘Athirah Mohd Azuarizanuddin tidak menawarkan sebarang jaminan berikutan kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Tertuduh yang diwakili peguam S Sangkari bagaimanapun memohon dibenarkan jaminan dengan alasan anak guamnya masih bertugas dan menyara ibu uzur, isteri dan anak berusia 21 tahun yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM10,000 dengan seorang penjamin warga tempatan selain perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM Kuala Lumpur.

Sementara itu, A’thirah dalam permohonannya meminta kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur mengikut Seksyen 104 Akta Mahkamah Rendah 1948, berikutan tertuduh juga didakwa dengan satu lagi pertuduhan rasuah di mahkamah berkenaan pada 31 Oktober lalu.

Mahkamah membenarkan kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Jenayah SPRM Kuala Lumpur.

Author: admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *