MIC dimaklumkan bahawa permohonan untuk sertai PN akan dibincangkan selepas PRN Sabah, kata Pengerusi Muhyiddin Yassin.
SHAH ALAM: Perikatan Nasional mengumumkan MIC telah memohon untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
Pengerusi Muhyiddin Yassin berkata permohonan tersebut akan dibincangkan dalam mesyuarat majlis pimpinan tertinggi PN, namun secara dasarnya, semua komponen mengalu-alukan kemasukan MIC.
“Saya maklum kepada presiden dan setiausaha agung MIC bila selesai PRN Sabah kita akan mesyuarat dan bincang secara terperinci permohonan yang dibuat MIC,” katanya pada sidang media.
“Keputusan muktamad akan dibuat bila mana majlis tertinggi PN mengadakan mesyuarat meneliti permohonan itu dan selepas itu kita akan maklum secara rasmi keputusan tentang penyertaan MIC dalam PN.”
Muhyiddin mengumumkan perkara ini selepas menghadiri konvensyen Urimai di Ideal Convention Centre.
Perhimpunan Agung MIC ke-79 pada 16 Nov lalu menyaksikan Timbalan Presiden M Saravanan membentangkan usul keluar daripada BN dan memohon secara rasmi untuk menyertai PN.
Usul-usul tersebut dibahas namun tiada undian dijalankan kerana mesyuarat bersetuju untuk menyerahkan keputusan kepada kepemimpinan tertinggi MIC.
Perkembangan itu berlatarkan ketidakpuasan hati terhadap layanan yang didakwa tidak adil oleh Umno, menyusuli spekulasi mengenai hala tuju MIC yang berlarutan selama beberapa bulan.
Vigneswaran berkata MIC sampai ke persimpangan dalam perjalanannya bersama BN, dan terpulang kepada perwakilan untuk menentukan arah serta masa depannya.
BERITA LANJUT MENYUSUL
