Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kekuatan peribadi Aliakbar Gulasan antara faktor utama kejayaan bersejarah PAS meraih kerusi sulung di Sabah.
PETALING JAYA: Kemenangan calon PAS Aliakbar Gulasan di kerusi Karambunai pada PRN semalam menunjukkan parti itu semakin diterima baik di Sabah, kata Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim berkata selain kerja kuat parti, kekuatan peribadi Aliakbar yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) juga antara faktor utama kejayaan bersejarah PAS meraih kerusi sulung di Sabah, lapor Berita Harian.
“Kita bersyukur PN berjaya memenangi kerusi DUN Karambunai dengan majoriti 365 undi dan kemenangan ini menunjukkan PAS diterima baik di Sabah.
“Berdasarkan pemerhatian saya, kredibiliti peribadi Aliakbar menjadi faktor utama, disokong usaha semua petugas kita,” katanya yang dipetik sebagai berkata.
Katanya, sentimen parti tempatan tidak memberi pengaruh besar terhadap pola pengundian keseluruhan dan pengundi tetap memilih Aliakbar kerana mengenali beliau secara peribadi.
“Kami merakamkan penghargaan kepada jentera parti dan pengundi Karambunai,” katanya.
Pada PRN semalam, Aliakbar menang dengan majoriti 365 selepas memperoleh 7,054 undi dalam saingan 11 penjuru.
Aliakbar, yang berketurunan Pakistan-Murut, merupakan bekas pensyarah di UMS dan memiliki ijazah kedoktoran dalam bidang geografi bandar.
Beliau sebelum ini mencipta sejarah selepas PRN 2020 apabila menjadi wakil PAS pertama di Sabah, walaupun ketika itu beliau hanya Adun dilantik oleh kerajaan negeri.
PAS meletakkan lima lagi calon di Petagas, Tanjung Batu, Balung, Merotai dan Kunak, namun semuanya tewas.
