13 termasuk warga emas ditahan, dipercayai terbabit aktiviti hubungan songsang

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, umum penahanan 13 lelaki dalam serbuan ke premis yang disyaki menjalankan aktiviti songsang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis menahan 13 lelaki termasuk dua orang warga emas kerana dipercayai terbabit dalam aktiviti hubungan songsang, dalam satu serbuan di Pulau Pinang semalam.

Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Helmi Aris, mengumumkan serbuan polis ke atas satu premis perniagaan di Perai pada 7 malam, bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai.

“Polis telah menahan 9 lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur antara 19 hingga 66 tahun yang merupakan pelanggan premis tersebut. Manakala dua lagi lelaki tempatan berumur 57 tahun dan 59 tahun merupakan pengusaha dan pekerja premis,” katanya dalam kenyataan.

Siasatan mendapati premis yang beroperasi di tingkat dua dan tiga sebuah bangunan tiga tingkat itu mempunyai ruang rehat, sauna dan bahagian yang dijadikan tempat untuk aktiviti hubungan songsang.

Premis disyaki menjalankan aktiviti songsang sejak dua bulan lalu, menurut polis.

Polis turut merampas peralatan seperti kondom, minyak pelincir, beberapa peralatan berkaitan aktiviti songsang. “Telefon bimbit milik tangkapan yang diperiksa mempunyai klip video lucah turut dirampas di dalam serbuan tersebut.”

Hasil ujian urin ke atas semua tangkapan adalah negatif, dan semakan rekod jenayah lampau mendapati salah seorang suspek lelaki tempatan mempunyai satu rekod lampau kesalahan jenayah.

Semua tangkapan direman selama enam hari sehingga 5 Dis untuk siasatan lanjut.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *