Pandikar Amin Mulia (Usno), Salleh Said Keruak (BN), Edna Jessica Majimbun (Warisan) dan Ellron Alfred Angin (GRS) semuanya bersaing untuk merebut kerusi masing-masing pada PRN Sabah Sabtu ini.
PETALING JAYA: Rakyat Sabah akan mengundi dalam PRN ke-17 pada Sabtu ini dan penganalisis memberi amaran tiada satu gabungan atau parti pun dijangka memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.
Dalam saingan yang dipenuhi dengan calon Bebas, Pakatan Harapan (PH) berada dalam kedudukan unik apabila bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) secara berasingan. Perikatan Nasional (PN) pula memilih untuk bergerak secara solo, sambil mengekalkan pilihan terbuka mengenai rakan gabungan selepas pilihan raya.
Warisan turut bertanding secara solo dan bertanding di semua 73 kerusi, manakala beberapa parti tempatan lain juga meletakkan ramai calon — antaranya Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Jeffrey Kitingan, yang bertanding di 46 kawasan.
STAR keluar daripada GRS bulan lalu, manakala sebuah lagi parti Sabah, Upko, juga meninggalkan PH dua minggu lalu.
Sementara itu, tumpuan semakin memuncak di beberapa kerusi utama, di mana tokoh terkenal, bekas sekutu dan pesaing lama bakal bertembung.
FMT meninjau 10 kerusi penting dan mendapatkan pandangan penganalisis politik Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, serta Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya untuk meramalkan pemenang.
Pintasan
Keputusan GRS meletakkan Presiden Usno Pandikar Amin Mulia mencetuskan rasa tidak puas hati, dengan pencalonannya disambut dengan ejekan sewaktu pengumuman.
Bekas speaker Dewan Rakyat itu pula yakin dengan peluangnya, malah berhasrat menewaskan 10 pesaing lain, termasuk penyandang Fairuz Renddan, yang menewaskannya dengan majoriti hanya 84 undi pada 2020.
Fairuz, yang memegang kerusi itu untuk GRS dalam DUN yang baru dibubarkan, meletakkan jawatan sebagai ketua Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah untuk bertanding sebagai calon bebas.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: Fairuz (Bebas)
Oh: GRS
Awang Azman: 50-50 antara GRS dan Fairuz
Usukan
Bekas ketua menteri Salleh Said Keruak (BN) bertanding untuk menjadi Adun Usukan bagi penggal kelima tetapi berdepan pertandingan enam penjuru, dengan Isnaraissah Munirah Majilis dari Warisan dijangka menjadi pencabar paling kuat.
Salleh mempertahankan kerusinya pada 2020 dengan majoriti kukuh 4,298 undi, selepas Isnaraissah menewaskannya pada PRU 2018 untuk kemenangan pertamanya sebagai Ahli Parlimen Kota Belud.
Beliau mengekalkan kerusi itu pada PRU15 dengan menewaskan seorang lagi tokoh besar Umno Sabah, Abdul Rahman Dahlan, dengan majoriti 4,582 undi.
Tidak boleh diketepikan ialah Japlin Akim dari GRS, bekas Adun Usukan tiga penggal di bawah BN sebelum ini.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: BN
Oh: Warisan
Awang Azman: BN
Kadamaian
Selepas membawa Upko keluar daripada PH, Ewon Benedick ingin membuktikan keputusan itu betul dan masih mendapat sokongan penduduk Kadamaian.
Ini adalah ujian besar buat bekas menteri persekutuan itu, yang pertama kali memenangi kerusi majoriti Kadazandusun Murut pada 2018 di bawah BN dan mempertahankannya dua tahun kemudian bersama Warisan dan PH.
Dengan semua tujuh pencabarnya datang dari parti tempatan yang membawa sentimen Sabah, Ewon tidak boleh bergantung pada slogan ‘Sabah First’ sahaja.
Ramalan penganalisis: Upko
Inanam
Salah satu kerusi paling panas, Inanam dengan 13 calon, akan menyaksikan tiga bekas Adun cuba kembali ke DUN.
Tiga tokoh itu — penyandang Peto Galim (PKR/PH), Kenny Chua (STAR) dan Dr Roland Chia (Bebas, bekas GRS) — dilihat sebagai peneraju untuk kerusi separa bandar ini.
Chua (2018-2022) dan Chia (2013-2018) pernah menang di bawah PKR.
Namun, persaingan sengit antara mereka mungkin memecahkan undi, yang berpotensi menguntungkan calon lain seperti Naib Presiden Upko Wong Thien Fook dan bekas ratu cantik Edna Jessica Majimbun dari Warisan.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: 50-50 antara PH dan Warisan
Oh: 50-50 antara STAR dan Warisan
Awang Azman: PH
Tanjung Aru
Kerusi bandar ini dipegang oleh Naib Presiden Warisan Junz Wong sejak 2018, tetapi kemenangannya sebelum ini turut disokong oleh PH.
Dengan Warisan bertanding solo, beliau berdepan pencabar besar, iaitu Timbalan Ketua DAP Sabah dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu dua penggal Chan Foong Hin, yang juga timbalan menteri persekutuan.
Kemenangan di sini akan membuktikan Warisan berjaya menembusi kawasan bandar, manakala kekalahan menunjukkan kekuatannya masih tertumpu di pantai timur.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: DAP/PH
Oh: Warisan
Awang Azman: DAP/PH
Moyog
Dua belas calon bersaing untuk menggantikan Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking, yang tidak mempertahankan kerusi itu. Warisan meletakkan Naib Presiden Terrence Siambun, yang pernah memegang kerusi ini dari 2013 hingga 2018.
Namun, beliau berdepan bekas Adun Moyog, Donald Peter Mojuntin dari Upko. Mendiang bapa Mojuntin ialah tokoh legenda Kadazan dan pernah disebut-sebut sebagai pemimpin utama komuniti itu sebelum terkorban dalam tragedi Double Six.
Kerusi Moyog sering bertukar tangan antara Warisan, PKR, Upko dan PBS. Tahun ini, PH juga akan bertembung dengan GRS walaupun terdapat pakatan pilihan raya.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: Upko
Oh: 50-50 antara Warisan dan Upko
Awang Azman: Terrence Siambun (Warisan)
Bongawan
Bekas menteri luar Anifah Aman melakukan cubaan sekali lagi di Bongawan selepas tewas kepada Daud Yusof (Warisan) dengan majoriti 1,802 undi pada 2020.
Kali ini Anifah mungkin lebih yakin, dengan Parti Cinta Sabah yang dipimpinnya kini sebahagian daripada GRS. Namun, Daud mempunyai kelebihan sebagai penyandang dua penggal.
Kedua-duanya juga berdepan bekas Adun Bongawan, Timbalan Menteri Luar dan Ahli Parlimen Kimanis dua penggal, Mohamad Alamin (BN).
Ramalan penganalisis:
Bilcher: Warisan (disebabkan pecahan undi antara Anifah & Mohamad)
Oh: Sukar diramal
Awang Azman: BN
Kemabong
Naib Presiden Gagasan Rakyat Rubin Balang bertanding untuk menjadi Adun Kemabong buat penggal keenam. Bekas pemimpin Umno itu dianggap cukup popular selepas menang sebagai calon Bebas pada 2020.
Rubin menghadapi saingan sembilan penjuru, tetapi pencabar paling kuat ialah Noorita Sual (DAP), yang pernah menewaskannya di kerusi Parlimen Tenom pada PRU14.
Noorita pula mahu menebus kekalahan setelah tewas kepada anak Rubin, Riduan, yang bertanding bebas pada PRU15.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: GRS
Oh: GRS
Awang Azman: Sukar diramal
Sook
Pertarungan lima penjuru ini amat penting bagi parti satu-satunya komponen BN Sabah yang tinggal, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), yang mahu merampas kembali kubu tradisinya.
Presiden PBRS Arthur Joseph Kurup ingin mengembalikan kerusi yang pernah dipegang mendiang bapanya.
Namun, Arthur berdepan bekas rakan parti, Ellron Alfred Angin, yang pernah memegang kerusi ini untuk PBRS dari 2008 hingga 2018 sebelum menyertai STAR dan menjadi timbalan presiden parti itu. Selepas STAR keluar GRS bulan lalu, Ellron kini bertanding atas tiket GRS untuk penggal kelima.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: GRS
Oh: BN
Awang Azman: BN
Sugut
Adun tiga penggal dan menteri negeri James Ratib mempertahankan kerusi ini daripada enam pencabar, termasuk Ketua PN Sabah Ronald Kiandee, Ahli Parlimen Beluran enam penggal, di mana kawasan itu turut merangkumi Sugut.
Walaupun ramai meragui peluang PN di Sabah, pertandingan sengit dijangka berlaku antara Kiandee dan Ratib — yang pernah berada dalam Umno dan Upko sebelum menyertai Gagasan Rakyat pada 2023.
Ramalan penganalisis:
Bilcher: PN
Oh: PN
Awang Azman: Sukar diramal
