Wanita nafi proksi Shamsul Iskandar, sifatkan dakwaan Tei ‘tohmahan’

Sofia Rini Buyong nafi dia proksi Shamsul Iskandar Mohd Akin (kiri), susulan dakwaan oleh Albert Tei (kanan).

PETALING JAYA: Seorang wanita nafi dia adalah proksi kepada bekas setiausaha politik kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin, dan menyifatkan dakwaan itu sebagai ‘palsu dan tohmahan’.

Sofia Rini Buyong dalam satu video menyifatkan dakwaan ahli perniagaan, Albert Tei, sebagai ‘fitnah’.

Sofia Rini Buyong.

Katanya, dia ingin menjawab kenyataan yang dibuat oleh Tei, “yang telah buat rakaman video kononnya ada arahan daripada saya atau Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk beliau membuat rakaman mengenai beberapa ahli politik Sabah.”

“Saya menegaskan di sini bahawa saya bukan proksi kepada Shamsul,” menurut video itu.

Tei, yang merupakan watak utama dalam dakwaan skandal perlombongan Sabah, sedang dibicarakan atas dua pertuduhan memberi rasuah.

Satu video dirakam Tei menunjukkan seorang wanita yang mendakwa dirinya sebagai proksi kepada Shamsul.

Wanita itu mendakwa perdana menteri memberi lampu hijau kepada Tei untuk merakam perbualannya dengan beberapa ahli politik Sabah, termasuk menteri negeri dan Adun, berhubung lesen penerokaan mineral di negeri Borneo itu.

Tei turut mendakwa bahawa beliau membelanjakan RM629,000 untuk Shamsul, termasuk kerja ubah suai ke atas beberapa hartanah yang dikaitkan dengan pemimpin PKR itu, selain cerut premium dan sut khas, menurut Malaysiakini.

Shamsul, yang semalam meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik kepada Anwar, membuat laporan polis terhadap Tei, hari ini, selepas ahli perniagaan itu menuduh dirinya mempunyai kaitan dengan Anwar.

Anwar menegaskan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas menjalankan siasatan segera terhadap tuduhan itu, tanpa sebarang campur tangan luar.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *