Khairy Jamaluddin hadir membantu kempen Hafez Yamani Musa yang mewakili PH di Sindumin. (Gambar Facebook)
KOTA KINABALU: Kehadiran bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin menyuntik semangat kepada kempen dua calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding pada PRN Sabah, Sabtu ini.
Beliau hadir membantu kempen Yamani Hafez Musa di Sindumin dan Jamawi Jaafar di Melalap, kedua-duanya adalah sebahagian daripada pemimpin bersama Khairy dalam sayap Pemuda Umno suatu ketika dahulu.
Jamawi memegang jawatan ketua penerangan Pemuda Umno manakala Hafez pernah mengepalai Pemuda Umno Sabah.
Sebaik tiba dari ibu negara, Khairy melalui perjalanan kira-kira 130 km ke Sipitang untuk bersama Yamani Hafez yang dalam misi memenangi DUN Sindumin.
Berucap pada siri kempen itu, Khairy berkata beliau telah mengenali rakannya itu sejak berusia 13 tahun dan menghadiri sekolah sama.
“Bila saya nampak beliau bertanding dan walaupun saya tiada parti kerana dibuang (dipecat Umno pada 2023), untuk sahabat saya bantu kempen supaya beliau menang.
“Kita hendak pastikan di Sindumin ini Hafez menang dengan selesa,” katanya mengajak penyokong tegar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) mengundi calon PH itu, rakan kerjasama di peringkat kerajaan perpaduan.
BN dan GRS tidak meletakkan calon di Sindumin pada PRN ke-17 itu.
Kerusi Sindumin menyaksikan persaingan 10 penjuru, selain Hafez kawasan itu turut diintai Markus Buas (Parti Impian Sabah), Abdillah Jalaf (Bebas), Ibrahim Tuah (Bebas), Yusri Pungut (Warisan) dan Wilson Liou (Bebas).
Kanafia Bujang (Parti Kebangsaan Sabah), Moktar Matussin (STAR); Dayang Syafiqah (Perikatan Nasional) dan Sani Miasin (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM)).
Khairy Jamaluddin bersama orang ramai dan penyokong PH pada kempen bersama Jamawi Jaafar di Melalap. (Gambar Facebook)
Selesai di Sipitang, Khairy bergerak ke Tenom untuk membantu kempen Jamawi yang dalam misi merampas DUN Melalap daripada PKDM.
Bekas ketua pemuda Umno itu disambut meriah oleh orang ramai yang menantikan kehadirannya.
Jamawi berdepan pertandingan lapan penjuru, calon lain adalah Gabriel George Tulas (Bebas), Priscella Peter (PKDM), Alviana Linus (STAR), Cheld Bryend Lind (Warisan), Junik Bajit (Upko) Kevin Chong (Parti Impian Sabah) dan Fatimah Ibrahim (Bebas).
Khairy turut membantu kempen calon BN DUN Bongawan Mohamad Alamin dan Arsad Bistari, mewakili GRS di DUN Tempasuk.
