Pengerusi PH Anwar Ibrahim tegaskan Sabah perlukan kerajaan stabil di negeri dan persekutuan, serta boleh bekerjasama. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim mempertahankan usaha kerajaan perpaduan diterajui gabungan itu dalam membantu Sabah.
Beliau berkata, pentadbirannya antara paling banyak menyalurkan bantuan kepada Sabah dan rakyatnya, bahkan negeri itu antara penerima peruntukan terbesar bagi pembinaan pelbagai kemudahan.
“Nak marah sikit tidak mengapa, nak tegur pun tidak mengapa. Saya tidak marah kerana saya faham kadang-kadang orang susah. Tetapi, jangan kata kita tidak tolong.
“Ini kerajaan PH, paling banyak tolong orang Sabah,” katanya, ketika berkempen di Sandakan dalam pesanan kepada golongan ibu.
Justeru, Anwar menyeru rakyat Sabah memberi sokongan kepada PH pada PRN agar gabungan itu mempunyai suara lebih kuat untuk terus menjaga kebajikan mereka.
“Sebab itu, saya minta sokongan terhadap kedua-dua calon PH di DUN Elopura, Vivian Wong Shir Yee dan (di) DUN Tanjong Papat, Tang Szu Ching,” katanya, lapor Bernama.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan Sabah memerlukan kerajaan yang stabil pada peringkat negeri dan persekutuan, serta boleh bekerjasama demi pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.
Beliau juga memberi jaminan tuntutan 40% hasil Sabah akan diselesaikan, dan pentadbirannya komited menunaikan janji ini.
“Kita sudah janji, kita akan laksanakan. Ini bukan sekadar cakap-cakap seperti kerajaan sebelum ini, kita akan buat,” katanya.
