JPN tarik balik rayuan, status warganegara Razwil Abdullah kekal

Peguam Habib Rahman Seeni Mohideen (kiri) bersama anak guamnya Mohd Razwil Abdullah. (Gambar Bernama)

GEORGE TOWN: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan agensi itu mengeluarkan sijil kelahiran baharu kepada seorang lelaki tanpa kewarganegaraan.

Peguam Habib Rahman Seeni Mohideen yang mewakili Mohd Razwil Abdullah, 41, berkata perkara itu dimaklumkan kepada pihaknya pagi tadi.

Beliau berkata, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Quay Chew Soon pada 14 Nov 2024 kekal.

“Dengan keputusan itu, JPN perlu mengeluarkan sijil kelahiran baharu yang menyatakan Razwil adalah warganegara Malaysia,” katanya kepada pemberita di luar Mahkamah Tinggi di sini.

Razwil memfailkan permohonan bagi memperoleh kewarganegaraan pada 8 April 2024 selepas berjaya menjejaki wanita yang menjumpainya ketika bayi, iaitu Rohaida Abdul Rashid, saksi tunggal dalam kes itu.

Dalam penghakimannya, Quay memerintahkan JPN mengeluarkan sijil kelahiran baharu menyatakan Razwil warganegara Malaysia berdasarkan Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau turut mengarahkan pendaftar besar kelahiran dan kematian JPN, ketua pengarah JPN dan kerajaan Malaysia mengeluarkan kad pengenalan bertaraf warganegara Malaysia kepada Razwil.

JPN kemudian mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Sementara itu, Habib Rahman berkata, anak guamnya dijumpai Rohaida ketika masih bayi dalam keadaan dibalut tuala putih dan bertali pusat berdekatan tong sampah di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Razwil kemudian dijaga wanita itu sehingga berusia empat tahun sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat sehingga berusia 15 tahun.

Sementara itu, Razwil yang bekerja sebagai pembantu kedai makan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan, Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Peguam Negara kerana menarik balik rayuan itu.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *