Pejabat Daerah dan Tanah Klang mahu peroleh 1.9 ekar tanah di Kampung Jawa daripada S Subramaniam dan 18 individu lain untuk beri laluan kepada pembinaan WCE. (Gambar WCE)
SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi menolak saman yang difailkan oleh seorang pemilik tanah bagi mendapatkan deklarasi bahawa notis yang dikeluarkan oleh pentadbir tanah Klang untuk mengambil milik hartanahnya di bawah Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960 tidak boleh dikuatkuasakan.
Hakim Khadijah Idris memutuskan, Seksyen 56 APT tidak menjadikan kegagalan menyerahkan notis kepada S Subramaniam dan 18 individu lain bagi projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) yang telah lama tertangguh itu sebagai tidak sah.
Peruntukan tersebut menyatakan bahawa sebarang peninggalan atau ketidakteraturan dalam penyerahan notis tidak membatalkan proses pengambilan tanah berkenaan.
Subramaniam diperintahkan membayar kos sebanyak RM5,000 kepada pentadbir tanah, yang diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Salim Soib.
Tahun lepas, Subramaniam memfailkan saman pemula berhubung kegagalan penyerahan Borang K di bawah APT, yang digunakan oleh pentadbir tanah untuk mengambil milik hartanah bagi projek lebuh raya yang menghubungkan Banting ke Taiping itu.
Lebuh raya sepanjang 233km itu dibangunkan sebagai alternatif kepada Lebuh Raya Utara-Selatan.
Plaintif berhujah bahawa notis tersebut tidak diserahkan kepadanya atau 18 individu lain yang terlibat.
Peguam R Kengadharan yang mewakili Subramaniam memberitahu FMT, pentadbir tanah masih memerlukan perintah mahkamah untuk mengusir pemilik tanah berkenaan memandangkan notis tersebut hanya bersifat pentadbiran.
Pejabat Daerah dan Tanah Klang mahu memperoleh 1.9 ekar daripada tanah lebih besar berkeluasan lima ekar milik 19 penduduk di Kampung Jawa.
Bagaimanapun, pemilik hartanah terjejas mendakwa pengambilan hanya 1.9 ekar akan menyebabkan baki 3.1 ekar itu tidak lagi sesuai didiami.
Syarikat konsesi WCE telah membayar RM5.4 juta bagi 1.9 ekar itu, namun penilai swasta yang dilantik penduduk menganggarkan nilai tanah berkenaan mencecah RM32 juta.
Kerajaan negeri memberi tempoh kepada penduduk sehingga 24 Nov untuk mengosongkan tanah itu, dan sekiranya gagal, rumah mereka akan dirobohkan.
Prosiding berhubung pertikaian penilaian itu ditetapkan untuk didengar pada 27 Jan.
