Kerajaan sedia kemudahan dan pengecualian agar PKS terus berdaya saing, di sebalik kekhuatiran tentang implikasi kos tambahan susulan peluasan skop SST, kata MoF. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang untuk menilai semula peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memandangkan pelaksanaan dirangka dengan mengambil kira langkah mitigasi yang bersifat bersasar dan progresif, menurut Kementerian Kewangan (MoF).
Langkah mitigasi berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025 itu bagi memastikan beban cukai diagihkan secara adil dan ditanggung oleh pihak yang mempunyai keupayaan, menurut jawapan bertulis Dewan Rakyat di laman Parlimen.
“Langkah-langkah ini memastikan peluasan skop SST dilaksanakan secara berhemah dan tidak membebankan pengguna serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebaliknya menyokong usaha memperkukuh hasil negara secara berperingkat bagi memastikan kemampanan fiskal jangka panjang tanpa menjejaskan pertumbuhan ekonomi domestik,” katanya.
MoF menjawab pertanyaan Lim Lip Eng (Kepong-PH) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang menilai semula peluasan skop SST memandangkan implikasi kos tambahan yang dikhuatiri mendorong kenaikan harga dan seterusnya membebankan PKS serta pengguna.
Kementerian berkata kerajaan menyediakan beberapa kemudahan dan pengecualian khusus bagi memastikan PKS terus berdaya saing dan tidak terbeban.
Antara langkah diambil adalah penetapan nilai ambang pendaftaran yang tinggi dikenakan bagi perkhidmatan baharu yang mula dikenakan cukai perkhidmatan iaitu RM1 juta setahun bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan dan perkhidmatan kewangan berasaskan fi, serta RM1.5 juta setahun bagi perkhidmatan pembinaan dan penjagaan kesihatan swasta.
Di samping itu, kerajaan juga mengambil langkah pengecualian cukai perkhidmatan bagi perkhidmatan sewaan atau pajakan kepada peniaga kecil dengan pendapatan tahunan kurang daripada RM1 juta setahun.
Berdasarkan Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Oktober 2025, Jabatan Perangkaan berkata kadar inflasi negara kekal rendah pada 1.3% berbanding 1.5% pada September 2025.
“Ini didorong oleh kesan tekanan harga yang lebih sederhana dalam kumpulan perbelanjaan utama isi rumah seperti makanan, perumahan dan utiliti.
“Persekitaran inflasi ini menunjukkan bahawa langkah-langkah penambahbaikan hasil termasuk peluasan skop SST dapat dilaksanakan tanpa memberi tekanan ketara kepada kos sara hidup,” katanya.
