Ahli Parlimen Balik Pulau Bakhtiar Wan Chik runsing dengan purata masa harian penggunaan internet rakyat Malaysia lapan jam 13 minit, jauh melebihi purata global enam jam 40 minit.
KUALA LUMPUR: Tiba masa Kementerian Digital mewajibkan pengesahan umur sebagai langkah melindungi kanak-kanak mendapat akses laman pornografi, susulan kadar penembusan internet tinggi negara mencapai 97.7%.
Bakhtiar Wan Chik (PH–Balik Pulau) yang menzahirkan kebimbangan kedudukan Malaysia tertinggi di rantau ini mengakses laman itu, mahu kerajaan mencontohi langkah United Kingdom (UK), Perancis, Jerman, dan Australia.
Katanya, kerajaan perlu memandang serius isu itu kerana pendedahan awal terhadap pornografi membawa pelbagai kesan termasuk ketagihan seksual digital, institusi keluarga retak, gangguan perkembangan sosial remaja, dan normalisasi kandungan ekstrem.
“Banyak negara telah mengambil langkah menangani itu tersebut antaranya UK memperkenalkan ‘Age Verification for Pornography Law (di bawah Online Safety Act 2023) yang mewajibkan semakan umur sebelum mengakses kandungan dewasa.
“…Perancis dan Jerman mewajibkan platform pornografi menggunakan teknologi identiti digital yang memelihara privasi, tetapi menghalang akses bawah umur serta Australia pula sedang menguji sistem ‘age assurance technology’ tanpa menggunakan data biometrik sensitif.
“Adakah pihak Kementerian (Digital) bersedia mempertimbangkan rangka kerja ‘age verification’ versi Malaysia yang tidak mengumpul data sensitif, tetapi efektif?” soalnya ketika perbahasan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa Kementerian Digital di Dewan Rakyat.
Bakhtiar ketika mengulas lanjut berkata, tambah merunsingkan purata masa harian penggunaan internet rakyat Malaysia lapan jam 13 minit, jauh melebihi purata global enam jam 40 minit.
“Bagi penggunaan internet melalui telefon bimbit pula, rakyat Malaysia menghabiskan purata empat jam 42 minit sehari, berbanding purata global sekitar tiga jam 46 minit,” katanya.
Beliau juga mencadangkan, kelas literasi digital diwajibkan di sekolah selain menguatkuasakan tindakan memaksa platform menurunkan kandungan ekstrem dalam tempoh 24 jam.
