Saman Mujahid terhadap PAS akan diselesai, mahkamah diberitahu

Mujahid Yusof Rawa menyaman PAS dan Setiausaha Agungnya Takiyuddin Hassan berhubung hantaran Facebook diterbitkan pada 16 Okt 2022.

KUALA LUMPUR: Saman difailkan bekas menteri hal ehwal agama, Mujahid Yusof Rawa, terhadap PAS berkait dakwaan beliau menyokong komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berkemungkinan diselesaikan tidak lama lagi.

Peguam Noorazmir Zakaria, mewakili Mujahid, memberitahu Hakim Roslan Mat Nor bahawa kedua-dua pihak telah bertemu bulan lalu untuk membincangkan penyelesaian.

Namun, beliau berkata mereka memerlukan masa memuktamadkan terma-terma berkenaan.

Faizi Che Abu, yang hadir bagi pihak PAS, berkata kelulusan parti itu adalah perlu sebelum penghakiman persetujuan dapat direkodkan.

“Mereka (pemegang jawatan parti) ada mesyuarat bulan depan,” tambahnya.

“Bagaimana jika pemegang jawatan tidak setuju?” soal Roslan.

Peguam itu berkata, perbincangan sedang berlangsung dalam kalangan pemegang jawatan parti, tetapi terma-terma penyelesaian memerlukan perbincangan lanjut sebelum dapat dimuktamadkan.

Mahkamah menetapkan kes itu disebut semula pada 30 Dis, bagi kedua-dua pihak memberikan perkembangan terkini mengenai status rundingan.

Kedua-dua, Mujahid dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hadir di mahkamah.

Mujahid memfailkan saman terhadap PAS pada 2022, mendakwa parti itu memfitnahnya dalam hantaran Facebook bertajuk ‘Mantan menteri agama PH sokong LGBT?’, diterbitkan pada 16 Okt 2022.

Beliau menuntut ganti rugi am, teladan, dan teruk serta perintah untuk PAS memadam hantaran Facebook itu.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *