Pereka grafik dan aktivis, Fahmi Reza dalam satu video siri ‘Kelas Demokrasi’. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Fahmi Reza dipanggil polis untuk membantu siasatan hasutan berhubung sebuah video yang dihasilkannya mengenai Yang di-Pertua Negeri Sabah, Musa Aman.
Fahmi berkata ini adalah kali pertama dia dipanggil polis untuk siasatan berhubung siri ‘Kelas Demokrasi’ yang membincangkan sistem pemerintahan berperlembagaan Malaysia dan proses pilihan raya yang disiarkan secara langsung di TikTok miliknya.
Pereka grafik dan aktivis itu dalam satu hantaran di Facebook berkata dia menerima satu notis daripada polis pada tengah hari tadi yang mengarahkannya hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah Terancang Bukit Aman esok.
Katanya, dia diarahkan untuk hadir esok untuk disoal siasat berhubung video ‘Kelas Demokrasi’ bertajuk ‘Bolehkah TYT Musa Aman dipecat?’ yang dimuat naik di Facebook dua hari lalu.
“Aku dah buat banyak sesi dan video Kelas Demokrasi setiap musim pilihan raya sejak PRU-15 2022 dan masa PRN 2023.
“Aku tak akan berhenti buat sesi Kelas Demokrasi setiap malam di TikTok, sebab dalam negara demokrasi, rakyat adalah bos!” katanya.
Fahmi juga berjanji untuk hadir ke Bukit Aman esok.
Siasatan itu berlaku sebulan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur beri Fahmi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman terhadap ketua polis negara, ketua pengarah imigresen, dan dua yang lain berhubung sekatan perjalanan yang dikenakan ke atasnya.
Dia menuntut RM408 sebagai ganti rugi khas serta ganti rugi lain yang akan dinilai oleh mahkamah.
Fahmi berdepan sekatan perjalanan sebanyak dua kali tahun ini. Pada Jun, Fahmi berkata dia dihalang daripada menaiki penerbangan ke Singapura.
Katanya, dia dimaklumkan pegawai imigresen bahawa namanya disenaraihitamkan untuk perjalanan ke luar negara. Namun, polis dan kerajaan kemudian menafikan namanya berada dalam senarai hitam.
Fahmi berkata dia percaya tindakan itu berkaitan dengan karya grafiknya mengenai pelantikan Musa sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah. Pada Mei, Fahmi berkata dia dihalang daripada memasuki Sabah dan dihantar pulang ke Kuala Lumpur.
