Setiausaha SPR Khairul Idrus berkata mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh membuat aduan secara rasmi kepada suruhanjaya itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menafikan dakwaan pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya memberi tumpuan khusus atau menyasarkan mana-mana parti mahupun pihak-pihak tertentu sepanjang PRN Sabah.
Setiausaha SPR Khairul Idrus berkata tuduhan tersebut adalah tidak benar dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai sebarang kemusykilan membuat aduan secara rasmi kepada SPR atau pihak berkuasa berkaitan sebarang salah laku, kecurigaan atau ketidakpatuhan peraturan dan undang-undang pilihan raya.
“Pasukan penguat kuasa ini ditubuhkan bertujuan untuk memantau dan mengawal aktiviti calon sepanjang tempoh berkempen sehingga tamat hari mengundi.
“Bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut, pasukan ini menjalankan pemantauan terhadap aktiviti-aktiviti kempen calon bertanding dan menasihati agar semua pihak dapat mematuhi undang-undang yang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjawab dakwaan Naib Presiden Warisan Junz Wong pada Jumaat lalu, bahawa SPR menekan kempen parti itu, mendakwa pegawai SPR mengekori calonnya serta menguatkuasakan sekatan mengejut yang tidak pernah terpakai dalam pilihan raya terdahulu.
Wong yang bertanding merebut kerusi Tanjung Aru berkata, beliau ‘tidak pernah melihat SPR berkelakuan sedemikian’ sepanjang 18 tahun berkecimpung dalam politik.
“Pegawai SPR ekori calon-calon kami dengan kamera ke mana-mana, rakam segalanya. Malah, mereka nasihati calon kami agar tidak terlalu banyak berinteraksi dengan orang ramai,” katanya.
SPR menetapkan 25 Nov bagi undi awal manakala 29 Nov sebagai hari pengundian.
Mengikut statistik SPR, sebanyak 1,784,843 pengundi terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera bersama pasangan dan 12,729 anggota polis berserta pasangan layak menjalankan tanggungjawab mereka pada PRN kali ini.
