Pandu sampai tayar hancur nampak rim, lelaki ditahan

Tayar belakang kereta dipandu lelaki berusia 32 tahun hancur sepenuhnya dalam kejadian di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas.

PETALING JAYA: Lelaki dikatakan mabuk ditahan kerana memandu bahaya kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah dengan satu tayar belakangnya pecah dan menampakkan rim, dalam kejadian tular sejak semalam.

Insiden itu berlaku ketika lelaki berusia 32 tahun itu memandu di Lebuhraya Sungai Besi menghala ke arah Taman Naga Emas.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata individu itu ditahan ketika hadir di Balai Polis Trafik Kuala Lumpur pada 10.30 pagi tadi untuk memberikan keterangan.

“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku pada 8 pagi semalam. Pihak polis turut melakukan ujian saringan air kencing dan evidential breath analyzer (EBA) terhadap individu tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Zamzuri berkata, ketika disoal siasat, pemandu tersebut beri alasan tayar kenderaannya pecah akibat terlanggar lubang, memandangkan kediamannya tidak jauh lalu bertindak terus memandu untuk pulang ke rumah.

Video kejadian itu dirakam seorang penunggang motosikal dengan memaparkan sebuah kenderaan jenis Range Rover Velar dipandu bahaya dengan tayar belakang sebelah kanan pecah sehingga menampakkan rim.

Polis turut meminta saksi untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *