‘Tulun tokou’, frasa dalam Kadazan Dusun yang jika diterjemah ke bahasa Melayu bermaksud orang kita. Ia sering digunakan dalam kempen politik komuniti Kadazan Dusun Murut (KDM).
Sempena PRN Sabah ke-17, perdebatan parti paling tepat mewakili komuniti KDM kembali memuncak. Landskap politik negeri itu yang kompleks dan berubah-ubah menjadikan perebutan pengaruh dalam segmen ini semakin kritikal.
Antara parti paling menonjol membawa suara KDM ialah Parti Bersatu Sabah (PBS), Upko, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).
PBS walaupun parti berbilang kaum namun kekal sinonim dengan perjuangan KDM. Pengasasnya, Joseph Pairin Kitingan, diangkat sebagai Huguan Siou, gelaran tertinggi komuniti Kadazandusun. Bekas ketua menteri itu kini menjadi penasihat parti.
Sejak ditubuhkan pada 1985, PBS konsisten mempertahankan prinsipnya dan setia dengan rakan politik, biarpun dua kali meninggalkan Barisan Nasional (BN) — pada 1990 dan 2018.
Kesetiaan, pendirian teruji
Ketua Anak Negeri Kota Kinabalu Rocky Mabin berkata di sebalik pelbagai cabaran seperti wakil rakyatnya melompat beramai-rama seperti berlaku pada 1994, PBS masih memiliki kekuatan membawa suara rakyat Sabah, khususnya KDM.
“Kata kuncinya kesetiaan. Walaupun berdepan pelbagai cabaran, PBS ada rekod berpegang kepada prinsip jika tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan,” katanya.
Keputusan PBS berpisah daripada BN bukan kerana mengejar kuasa. Selepas PRU14 misalnya, PBS mempunyai peluang bersama Upko menyokong Warisan pimpinan Shafie Apdal untuk menumbangkan kerajaan BN.
Namun PBS memilih kekal sebagai pembangkang, terus menekan isu seperti kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI), antara kebimbangan utama rakyat Sabah khususnya KDM.
Kehadiran PATI ini turut mengaitkan semula dakwaan demografi dan hak masyarakat KDM terjejas sejak 1980-an melalui ‘Projek IC’.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, yang mentadbir negara dari 1981 hingga 2003 sering dikaitkan sebagai individu yang memulakan gerakan itu.
Namun dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai PATI di Sabah pada 2013, Mahathir menafikan pengetahuannya mengenai ‘Projek IC’, sambil menyalahkan ‘pegawai kerajaan’ atas pemberian kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.
Persoalan itu belum terjawab dan Mahathir kembali ke persada Putrajaya dari 2018-2020, didakwa Shafie hasil bantuannya dalam ceramah politik menjelang PRN Sabah. Bukan sekali tetapi dua kali dakwanya.
Hasil kesabaran dan konsistensinya, PBS menambah dua kerusi pada PRN 2020 berbanding lima sebelum itu. Parti yang kini diketuai Pemangku Presiden Dr Joachim Gunsalam itu kemudian menjadi sebahagian kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan memainkan peranan dalam beberapa perkembangan penting termasuk hal berkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
‘Nasib Upko, Jeffrey berpindah-randah’
Upko pula berdepan nasib berbeza apabila hanya mempertahankan satu kerusi — Kadamaian pada PRN terbabit. Warisan, rakan kerjasamanya ketika itu, turut tumbang di kebanyakan kerusi KDM, walaupun Moyog kekal melalui Timbalan Presiden Darell Leiking.
Pengaruh Warisan turut merosot selepas Leiking tewas di Penampang pada PRU 2022, satu kawasan simbolik bagi masyarakat KDM. Namun Upko bangkit dengan merampas Penampang serta menang Tuaran di bawah tiket Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun Upko keluar PH pada pada 10 Nov lalu, lima hari menjelang penamaan calon. Presidennya, Ewon Benedick, memberi alasan Putrajaya mahu merayu keputusan mahkamah mengenai tuntutan 40% hasil Sabah, sedangkan rayuan difailkan hanya melibatkan alasan penghakiman, dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sendiri memberi komitmen menunaikannya.
Tetapi ada cakap-cakap tindakan itu didorong kerana ingin bertanding banyak kerusi. Jika bergabung bersama PH-GRS, mungkin kerusi ditandingi parti akibat perpecahan PBS itu hanya kurang lima DUN.
Satu lagi parti sering dikaitkan dengan komuniti KDM ialah STAR, dipimpin Jeffrey Kitingan. Namun karier politik Jeffrey sendiri penuh episod keluar masuk parti — dari PBS ke Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Angkatan Keadilan Rakyat, PKR dan akhirnya STAR.
STAR juga bergerak antara beberapa pakatan. Ia pernah bersama Perikatan Nasional sebelum keluar selepas PRU 2022, kemudian bergabung dengan GRS hingga Jeffrey dilantik sebagai timbalan ketua menteri.
Namun menjelang pembubaran DUN bulan lalu, STAR mengumumkan keluar GRS. Jeffrey menegaskan ia kehendak rakyat, tetapi beberapa pemimpin parti mengakui ia turut berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap agihan kerusi dalam kerjasama GRS–PH.
Bagi PKDM yang kini dipimpin pemangku presiden Priscilla Peter, meskipun lantang dan mendapat sambutan, rekod politiknya masih terlalu baharu untuk diuji dari segi ketahanan dan kesetiaan.
Dalam suasana politik Sabah yang semakin dinamik dan kompetitif, isu kesetiaan, prinsip dan konsistensi rekod perjuangan menjadi penentu utama bagi masyarakat KDM memilih parti yang benar-benar menjaga ‘Tulun tokou’.
Pada 29 Nov ini, segala persoalan akan terjawab. Pengundi KDM akan menentukan parti mana yang layak membawa suara mereka. Akhirnya, persoalan utama tetap sama: Siapa paling setia?
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
