Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet dan Presiden AS Donald Trump semasa menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur sempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 pada 26 Okt. (Gambar AFP)
JOHANNESBURG: Perdana Menteri Anwar Ibrahim menolak dakwaan ‘campur tangan’ Malaysia dalam cara Thailand mengendalikan pertikaiannya dengan Kemboja.
Ini susulan penunjuk perasaan berkumpul di hadapan Kedutaan Malaysia di Bangkok, semalam, menuduh Anwar dalam kapasitinya sebagai pengerusi Asean, mencampuri usaha Thailand menegakkan kedaulatannya.
Anwar berkata, Malaysia hanya memudahkan perbincangan untuk penyelesaian secara baik terhadap konflik melibatkan dua negara itu.
“Kita telah memudahkan dua perkara. Pertama, ketua angkatan tentera bertemu rakan sejawat. Kedua, kementerian Luar menghubungi pihak mereka.
“Saya juga sudah menghubungi kedua-dua perdana menteri dan bertanya sama ada mereka boleh bercakap. Mereka kemudian memutuskan parameter dan isu-isu. Selepas itu, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump juga bercakap dengan mereka,” katanya pada sidang media di Hotel Sandton.
Anwar berkata, beliau kemudian terus berhubung dengan dua negara itu.
“Jadi, tidak benar bagi sesetengah pihak di Thailand – saya tidak tahu politik tempatan mereka – untuk mencadangkan kita mencampuri urusan mereka. Kita sama sekali tidak mencampuri urusan mereka.
“Pihak Thailand mempunyai kepentingan yang sah (untuk ditegakkan) dan layak menyelesaikan isu mereka sendiri. Begitu juga dengan pihak Kemboja,” katanya.
Anwar berkata, ia memerlukan usaha keras untuk pihak bertelagah bersetuju dengan parameter Perjanjian Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 baru-baru ini, namun keputusan akhir terletak pada Thailand dan Kemboja.
“Apabila saya mempengerusikan mesyuarat (antara pihak berkenaan), saya terangkan perkara itu dengan sangat jelas,” katanya.
Menurut Bangkok Post, penunjuk perasaan juga bersedia berarak ke Kedutaan AS di ibu negara kerana percaya Washington secara tidak adil mengaitkan rundingan perdagangan dengan hak kedaulatan Thailand untuk melindungi wilayahnya.
Penunjuk perasaan menuduh Anwar melangkaui peranannya sebagai pengerusi Asean apabila dikatakan mengarahkan Thailand menghentikan operasi sempadannya, dan juga mendakwa Malaysia dan AS cuba memberi pengaruh tidak wajar terhadap keputusan negara Gajah Putih itu.
Pada 23 Nov, Menteri Luar Mohamad Hasan berkata Malaysia bersedia menjadi tuan rumah rundingan Thailand dan Kemboja di Malaysia – atas dasar wilayah berkecuali – berikutan ketegangan semula di sempadan.
Beliau berkata, meskipun hubungan kedua-dua negara kelihatan positif selepas pemimpin keduanya menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur, namun sejak itu hubungan negara berjiran berkenaan kian merosot.
Kemboja dan Thailand saling menuduh ekoran pertempuran baru di sepanjang sempadan pada 12 Nov selepas Bangkok menggantung pelaksanaan perjanjian damai disokong AS.
Mohamad berkata, Thailand menggantung gencatan senjata berikutan beberapa tenteranya cedera akibat periuk api ketika rondaan sempadan. Thailand mendakwa periuk api itu ditanam pihak Kemboja.
Kementerian Pertahanan Kemboja menafikan dakwaan dilemparkan dan menyeru Thailand mengelak melakukan rondaan di kawasan periuk api lama. Pihak Kemboja berkata mereka komited bekerjasama dengan Bangkok selaras perjanjian dimeterai pada Oktober.
Namun, pasukan pemerhati Asean di Thailand dan Kemboja melaporkan periuk api itu merupakan periuk api baharu.
Cadangan penaja bersama sidang pembangunan semula Gaza
Anwar yang dalam rangka lawatan kerja ke Afrika Selatan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 berkata, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi ada mencadangkan penganjuran persidangan mengenai pembangunan semula Gaza dan mengundang Malaysia menjadi penaja bersama acara terbabit.
“Saya memberitahunya akan mendapatkan maklumat terperinci daripada Kementerian Luar sebelum memberikan jawapan muktamad,” katanya.
Merujuk soal pembangunan semula, Anwar berkata keutamaannya adalah supaya negara Arab berkelayakan atau negara jiran mengendalikannya kerana mereka berada pada kedudukan lebih baik mengurusnya dengan lebih berkesan dan cekap.
