PN lancar manifesto, keluarga miskin dapat RM4,800 setahun

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin melancarkan manifesto bertemakan ‘Kasi Bagus Sabah’ dengan menampilkan 12 tunjang dan 159 tawaran untuk meringankan beban rakyat Sabah.

PUTATAN: Perikatan Nasional (PN) melancarkan manifesto bertemakan ‘Kasi Bagus Sabah’ dengan menampilkan 12 tunjang dan 159 tawaran yang disifatkan sebagai pelan menyeluruh untuk meringankan beban rakyat serta memperkukuh pembangunan negeri menjelang PRN Sabah 29 Nov ini.

Antara janji utama yang diumumkan Pengerusinya Muhyiddin Yassin ialah pelaksanaan Bantuan Prihatin Rakyat Sabah (BPRS), iaitu bantuan tunai RM4,800 setahun khusus kepada keluarga miskin tegar dan keluarga memerlukan.

Muhyiddin berkata BPRS akan menjadi intervensi segera untuk menangani tekanan kos sara hidup yang semakin menghimpit rakyat, terutama di kawasan luar bandar.

“Ini komitmen nyata PN untuk memastikan rakyat Sabah tidak terus ketinggalan dari segi kesejahteraan ekonomi,” katanya ketika mengumumkan manifesto PN di Putatan.

Selain bantuan tunai, PN turut menawarkan pelaburan besar dalam pendidikan melalui penubuhan Dana Didik Sabah berjumlah RM300 juta bagi tempoh lima tahun.

“Dana ini akan bertindak sebagai tabung akses pendidikan rendah dan menengah bagi membantu murid luar bandar serta keluarga B40 mendapatkan peluang pendidikan yang lebih saksama.

“Melalui dana itu, PN berjanji menyediakan pengangkutan ke asrama untuk murid pedalaman, bantuan peranti dan peralatan PdP untuk mengukuhkan pembelajaran digital, serta kelas bimbingan percuma kepada pelajar daripada keluarga memerlukan.

“Murid yang menghadapi masalah pendengaran dan penglihatan turut akan diberi saringan percuma serta bantuan cermin mata atau alat bantu dengar,” katanya.

Bagi meningkatkan kemahiran asas, Muhyiddin berkata PN turut memperkenalkan program Sabah Celik 3M sebagai intervensi khusus untuk memastikan murid Tahap 1 menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira.

Bantuan alat tulis serta Bantuan Tenang Periksa Sabah (TPS) bernilai RM250 untuk calon SPM, STPM dan STAM turut disenaraikan sebagai pakej sokongan pendidikan, katanya.

Dalam aspek kesihatan, PN melancarkan Program Sabah Prihatin (PSP) yang digariskan sebagai langkah mengurangkan beban kos perubatan dan meningkatkan akses rakyat kepada rawatan berkualiti.

“Program itu akan digerakkan melalui kerjasama agensi kerajaan, GLC negeri, institusi pengajian tinggi dan NGO,” katanya.

“Antara inisiatif utama di bawah PSP ialah Kompas Kesihatan Sabah (KKS) – perkhidmatan saringan kesihatan komuniti secara bergerak meliputi kawasan perumahan, kampung dan pedalaman.

“Unit bergerak itu akan memberi fokus kepada pengesanan awal penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan kanser, selain menyediakan konsultasi serta sokongan rawatan asas,” katanya.

Bagi pelajar Sabah di luar negeri, Muhyiddin berkata PN turut berikrar menyalurkan subsidi tiket penerbangan Mahasiswa Sayang Sabah (MSS) sebanyak RM1,000 setahun kepada setiap anak Sabah yang menuntut di IPT di Semenanjung, Sarawak dan Labuan.

Muhyiddin menyifatkannya sebagai sokongan penting untuk meringankan kos perjalanan pulang ke kampung.

Dalam usaha membantu golongan muda, PN memperkenalkan Skim Bantuan p-Hailing Sabah dengan peruntukan RM2.5 juta setahun untuk 5,000 anak muda dalam sektor penghantaran menggunakan motosikal.

“Skim itu meliputi pembiayaan penyelenggaraan motosikal serta perlindungan insurans bagi menjamin keselamatan dan kelangsungan pendapatan mereka,” katanya.

Muhyiddin menegaskan manifesto itu disusun berdasarkan suara rakyat dan aspirasi akar umbi yang mahu kerajaan negeri lebih efisien, adil dan dekat dengan keperluan sebenar masyarakat.

“Ini bukan manifesto kosong. Ia komitmen tanggungjawab yang PN bersedia laksanakan sebaik diberi mandat,” katanya.

Beliau berkata 159 tawaran itu membuktikan kesungguhan PN untuk membawa perubahan struktural di Sabah sambil memastikan rakyat merasai manfaat segera melalui bantuan langsung, akses pendidikan dan kesihatan yang lebih baik serta peluang ekonomi diperluas.

Author:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *