NGO pertikai kenyataan gangguan 999 ‘terpencil’

FMT melaporkan bahawa ambulans komuniti dan unit sukarelawan menyaksikan panggilan kecemasan meningkat, daripada orang ramai yang mendakwa 999 tidak berfungsi. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Satu pengendali ambulans komuniti di Pulau Pinang mempertikai kenyataan kerajaan bahawa kejadian orang ramai menghadapi masalah menghubungi sistem kecemasan baharu, NG MERS 999, adalah ‘insiden terpencil’.

Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara berkata ia terus menerima panggilan daripada pemanggil yang memerlukan perkhidmatan ambulans kecemasan, malah pada hari ini, selepas mendapati talian 999 tidak terjawab.

“Kenyataan bersama tersebut tidak mencerminkan realiti keadaan di
lapangan. Sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan dan ambulans berasaskan
komuniti yang sedang berada di barisan depan krisis ini di Pulau Pinang untuk membantu rakyat yang terkesan, Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara
ingin menegaskan bahawa gangguan dalam penyampaian perkhidmatan
ambulans kecemasan ini bukan suatu ‘insiden terpencil’ seperti dinyatakan
dan sedang terus berlaku setakat jam 6 petang, hari ini,” menurut kenyataan.

Ia turut menarik perhatian kepada kes seorang warga emas dilaporkan mengalami kesesakan nafas, dan tiada ambulans tiba untuk membantu selepas membuat panggilan 999. Sebuah ambulan NGO pergi ke lokasi dan menghantar pesakit tersebut ke hospital pada kadar segera.

“Adalah perlu ditekankan di sini bahawa panggilan ke talian NG MERS 999 dan perkhidmatan ambulans kecemasan melibatkan perbezaan antara hidup dan mati dan tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Ambulans Komuniti Sungai Ara berkata individu memerlukan ambulans boleh menghubungi talian mereka di 01110510991, sekiranya mendapati panggilan ke talian 999 tidak terjawab atau tiada ambulans tiba untuk membantu.

Terdahulu hari ini, Kementerian Kesihatan, Kementerian Komunikasi dan Telekom Malaysia berkata ia telah menerima laporan berkaitan perkhidmatan ambulans, namun kejadian tersebut adalah terpencil, dan sistem NG MERS 999 beroperasi seperti biasa.

Kenyataan bersama itu menyusuli laporan FMT, bahawa ambulans komuniti menerima 13 panggilan kecemasan di Pulau Pinang, apabila orang ramai tidak dapat menghubungi 999.

FMT sedang mendapatkan komen TM.

Author:

2 thoughts on “NGO pertikai kenyataan gangguan 999 ‘terpencil’

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *