Sebuah kenderaan yang dipercayai membawa Ahli Parlimen Bersatu dilihat tiba di kediaman Muhyiddin Yassin untuk satu perjumpaan malam ini.
KUALA LUMPUR: Beberapa Ahli Parlimen Bersatu tiba di kediaman Presiden parti Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini untuk satu majlis makan malam di tengah-tengah ketegangan yang meningkat dalam parti.
Menurut seorang sumber, ketua pembangkang merangkap Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, adalah antara mereka yang menghadiri mesyuarat malam ini.
Pemimpin kanan lain yang dijangka hadir termasuk Naib Presiden Bersatu dan Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin, serta Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah.
Ahli Parlimen lain yang mengesahkan kehadiran adalah:
Khlir Nor (Ketereh)
Nazri Abu Hassan (Merbok)
Fathul Huzir Ayob (Gerik)
Nordin Ahmad Ismail (Lumut)
Azman Nasrudin (Padang Serai)
Suhaimi Abdullah (Langkawi)
Azahari Hasan (Padang Rengas)
Zakri Hassan (Kangar)
Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu)
Sumber berkata sekurang-kurangnya tiga Ahli Parlimen tidak mengesahkah sama ada mereka akan hadir perjumpaan itu, iaitu Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Ali Biju (Saratok).
Perjumpaan itu berlangsung hanya dua minggu selepas 19 Ahli Parlimen Bersatu menghantar surat kepada Muhyiddin bagi membantah tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful dipecat daripada parti oleh Lembaga Disiplin Bersatu manakala Wan Fayhsal digantung. Kedua-duanya telah memfailkan rayuan.
Lembaga Disiplin Bersatu turut memanggil Saifuddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi, dan Hamzah.
Saifuddin sebelum ini secara terbuka menyertai gesaan supaya Muhyiddin berundur sebagai presiden Bersatu.
Sementara itu, satu surat mula tular di media sosial yang menggesa supaya Hamzah digugurkan sebagai ketua pembangkang dan timbalan presiden Bersatu.
Surat itu, yang di draf untuk ditandatangani oleh setiap seorang wakil rakyat atau pemimpin Bersatu, mendakwa Hamzah merupakan ‘operator utama’ di sebalik gerakan yang melemahkan kepimpinan parti.
Ia turut mencadangkan supaya Radzi mengambil alih sebagai ketua pembangkang yang baharu dan menggesa Lembaga Disiplin mempercepatkan tindakan terhadap Hamzah.
