Bekas perdana menteri, Muhyiddin Yassin berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang RM200 juta.
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi membenarkan Muhyiddin Yassin mendapat akses sementara pasportnya, namun menolak permintaan bekas perdana menteri itu untuk melanjutkan transit di Dubai dalam perjalanan pulang ke Malaysia.
Muhyiddin memberitahu mahkamah beliau dijadualkan terbang dari Kuala Lumpur ke London pada 15 Dis untuk temu janji perubatan di Platinum Medical Centre, dua hari kemudian.
Lawatan itu bertujuan untuk pemeriksaan tahunan dan pemantauan kanser pankreas.
Muhyiddin juga merancang meluangkan masa bersama keluarganya, termasuk cucu-cucunya, di Madrid dari 20 Dis hingga 2 Jan 2026, diikuti singgah enam hari di Dubai, sebelum kembali ke Kuala Lumpur pada 8 Jan.
Bagaimanapu, Hakim Noor Ruwena Nurdin bertegas agar beliau memendekkan tempohnya di Dubai.
“Berdasarkan afidavit sokongan, saya tidak nampak sebarang justifikasi untuk transit lima hingga enam hari di Dubai. Bahagian itu sangat ketara, anda boleh melakukan transit hanya dalam satu atau dua hari.
“Tiada justifikasi sama sekali untuk transit yang panjang. Saya percaya tempoh transit itu boleh dipendekkan,” katanya.
Hakim itu juga menegur Muhyiddin kerana tidak mendapatkan kelulusan mahkamah sebelum menempah tiket penerbangannya.
“Sebenarnya, saya tidak cenderung untuk membenarkan (permohonan itu), anda tidak boleh menganggap setiap permohonan akan dibenarkan mahkamah.
“Anda mesti mendapatkan kelulusan mahkamah sebelum membuat tempahan,” katanya.
Menerusi kuasa budi bicara, Noor Ruwena membenarkan permohonan itu dengan syarat pasport Muhyiddin diserahkan kepadanya pada 8 Dis dan bukannya hari ini, dan dikembalikan kepada mahkamah selewat-lewatnya pada 5 Jan.
Peguam Amer Hamzah Arshad mewakili Muhyiddin, manakala Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Jumaat dan Nuralis Mat hadir bagi pihak pendakwaan.
Muhyiddin, 78, berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa melibatkan RM232.5 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang RM200 juta.
Empat pertuduhan salah guna kuasa itu berkait dengan tempoh Muhyiddin sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu, di mana beliau didakwa meminta rasuah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.
Tiga pertuduhan selebihnya berkaitan dengan dana RM200 juta yang didakwa diterima daripada Bukhary Equity Sdn Bhd dan dimasukkan dalam akaun parti diketuainya.
