Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-20 (KLIFF) 2025 hari ini. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR: Malaysia berhasrat menjadi penanda aras global bagi kawal selia, inovasi dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Islam serta pusat kecemerlangan teknologi kewangan (fintech) Islam dan sukuk berorientasikan iklim menjelang 2040, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.
Beliau berkata, landskap kewangan global sedang berkembang dan kewangan Islam bersedia untuk menerajui sempadan baharu, kerana hala tuju Malaysia sejajar trend mega global.
Fadillah berkata kewangan Islam akan menyokong seni bina persekitaran Malaysia, membolehkan peralihan, sukuk hijau dan biru, pembiayaan hidrogen, tenaga boleh baharu, keselamatan air dan sistem makanan.
“Malaysia juga akan menerajui kewangan Islam dipacu teknologi – daripada bank digital Islam kepada platform khidmat nasihat syariah yang didayakan kecerdasan buatan dan sukuk berasaskan rantaian blok.
“Kami akan memodenkan kewangan sosial – mendigitalkan zakat, membangunkan wakaf produktif, meningkatkan mikro-takaful dan mengukuhkan daya tahan komuniti,” katanya ketika merasmikan Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur ke-20 (KLIFF) 2025.
Menurut Fadillah, dengan sukuk wakaf tunai bertoken pertama di dunia, Malaysia menunjukkan kewangan Islam juga boleh menjadi ihsan, inovatif dan inklusif.
“Kita menerajui kewangan hijau menerusi Skim Sukuk dan Geran Bond Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI), merangkumi 100% daripada kos yang layak serta sejajar dengan Taksonomi Asean,” katanya.
Selain itu, Fadillah turut menekankan perbankan Islam menyumbang sebanyak 46.6% daripada jumlah pembiayaan negara dan berada di landasan tepat untuk melepasi 50%, sekali gus menjadikan Malaysia negara pertama di dunia kewangan Islam menjadi sistem arus perdana.
“Aset perbankan Islam melebihi USD260 bilion (USD1=RM4.14) dan pasaran modal Islam kita berada pada RM2.63 trilion, mewakili 62% daripada jumlah pasaran.
“Malaysia juga kekal sebagai peneraju pasaran sukuk dunia, menguasai antara 40% dan 50% daripada terbitan global,” katanya.
Bertemakan ‘Pengukuhan Ekonomi, Meningkatkan Daya Tahan dan Kemampanan’, forum dua hari bermula hari ini, menghimpunkan lebih 400 peserta dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan kewangan Islam dan peluang pelaburan.
KLIFF 2025 akan membincangkan pelbagai isu daripada inovasi kawal selia kepada kewangan Islam yang mampan dan digital, serta menekankan sokongan kukuh kerajaan untuk memajukan Malaysia sebagai peneraju global dalam kewangan Islam.
