Abdul Kassim Razali (dua dari kiri), calon GRS untuk Karambunai Arshad Idris (tengah) dan Naib Presiden PRBSS Jumat Idris (dua dari kanan) merasmikan dewan komuniti untuk komuniti Bajau Sama.
KOTA KINABALU: Seorang pemimpin Bajau Sama memberi amaran tidak terpengaruh naratif politik dari luar Sabah menjelang PRN akhir bulan ini kerana retorik sedemikian mengancam tradisi perpaduan negeri.
Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS), Jumat Idris, berkata komuniti itu perlu kekal berpusat kepada fabrik sosial unik Sabah.
“Semua komuniti Bajau Sama perlu kekal bersatu dan tidak mendengar propaganda serta fitnah dibawa dari Semenanjung Malaysia kerana itu bukan budaya Sabah.
“Cara Sabah ialah perpaduan. Kita tidak membezakan etnik atau agama,” katanya ketika merasmikan dewan komuniti serbaguna PRBSS di sini.
Turut hadir Abdul Kassim Razali, setiausaha politik kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah, Hajiji Noor yang juga ketua menteri sementara.
Kassim menekankan semula kepentingan perpaduan dan kepelbagaian, sambil menyifatkan identiti pelbagai budaya Sabah sebagai kekuatan.
Beliau berkata, dewan baharu itu perlu berfungsi sebagai ruang kongsi bukan saja untuk komuniti Bajau Sama, tetapi juga etnik lain.
“Di Sabah, kita hidup dalam kalangan pelbagai kumpulan etnik serta komuniti, dan kepelbagaian budaya ini mesti diraikan. Budaya semua komuniti Sabah tarikan utama pelancong.”
Jumat dan Kassim turut membangkitkan cabaran dihadapi komuniti Bajau Sama, khasnya kemerosotan bahasa dan amalan tradisional.
“Kita mahu membangunkan tempat di mana komuniti Bajau Sama boleh berkumpul, khasnya generasi muda, supaya mereka boleh mempelajari budaya dan bahasa mereka serta mengelakkannya hilang ditelan zaman.
“Kita lihat kanak-kanak Bajau Sama, walaupun ibu bapa mereka berbangsa Bajau, hanya menggunakan bahasa kebangsaan di rumah dan kita bimbang bahasa itu akan hilang,” kata Jumat.
Kassim yang juga setiausaha agung PRBSS berkata, antara kebimbangan utama persatuan itu ialah risiko bahasa Bajau Sama akan hilang sama sekali, jika tidak dipelihara secara aktif.
“Kita bimbang beberapa aspek budaya Bajau Sama diketepikan, mungkin akibat pengaruh budaya lain.
“Ini sebabnya (Presiden PRBSS) Hajiji membayangkan sebuah persatuan yang boleh melindungi dan memperjuangkan budaya Bajau Sama, khasnya tradisi serta bahasa yang wujud sekian lama.”
Beliau menggesa pemimpin komuniti memperbanyakkan program kebudayaan, khasnya di kawasan pinggir bandar, di mana tekanan asimilasi paling kuat.
Katanya, pelancaran dewan itu sebahagian usaha lebih luas untuk memberi asas bagi aktiviti kebudayaan, pendidikan dan penyatuan komuniti terbabit.
