Thonny Chee berkata beliau boleh gunakan bahasa Melayu dan Inggeris kerana penduduk di Api-Api turut fasih dua bahasa tersebut. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Calon Pakatan Harapan (PH) untuk DUN Api-Api, Thonny Chee menolak dakwaan beliau sukar berkomunikasi dengan masyarakat Cina kerana tidak fasih bahasa Mandarin, dan hanya menguasai berbahasa Melayu dan Inggeris.
Chee berkata isu bahasa bukan halangan untuknya berkhidmat kepada komuniti itu kerana penduduk juga fasih berbahasa Melayu dan Inggeris.
“Saya tahu di Api-Api, masyarakat Cina semua fasih berbahasa Melayu dan Inggeris. Jadi saya boleh gunakan dua bahasa ini untuk berkomunikasi dengan mereka. Orang yang cuba menggunakan isu ini sebenarnya tidak bijak kerana saya nampak tiada isu di situ,” katanya yang dipetik Bernama di Api-Api hari ini.
Katanya, beliau memahami maksud perkataan yang dituturkan dalam bahasa Mandarin, tetapi tidak berani membalasnya kerana bimbang disalahertikan.
“Bahasa Mandarin ada intonasi yang berbeza-beza. Kadang-kadang sebutannya sama tetapi sedikit perubahan intonasi boleh menukar maksud.
“Jadi daripada saya (bimbang salah) cakap bahasa Mandarin, bagus saya cakap bahasa Melayu atau Inggeris kerana mereka pun faham.
“Pada masa sama, saya pun sedang belajar bahasa Mandarin dengan sifu saya di sebelah ini,” katanya yang merujuk kepada Naib Presiden PKR, Chang Lih Kang yang hadir membantu kempen beliau.
DUN Api-Api menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan Chee berdepan Ng Chun Sua dari Parti Impian Sabah, Ting Shu Kiong (STAR), Soh Kee Suat (PBK) dan Loi Kok Liang (Warisan).
Hari pengundian PRN Sabah ditetapkan pada 29 Nov ini, manakala 25 Nov untuk pengundian awal.
