Sabah First menggariskan empat strategi utama untuk mempertahankan hak negeri bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, kedaulatan dan mempertahankan keselamatan wilayah Sabah.
PETALING JAYA: Sabah First (Sabah Diutamakan) yang menjadi antara empat rukun dalam manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah iltizam gabungan itu untuk meletakkan keutamaan tertinggi dalam memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah.
Dilancarkan oleh Pengerusi GRS Hajiji Noor hari ini, Sabah First menggariskan empat strategi utama untuk mempertahankan hak Sabah bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kedaulatan dan mempertahankan keselamatan wilayah Sabah.
Strategi pertama adalah meneruskan ketegasan dalam pelaksanaan segera hak-hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan
Kedua, mendapatkan hak berperlembagaan Pemberian Khas (Special Grant) 40% hasil bersih dikembalikan kepada Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
Ketiga, menegakkan kedaulatan dan mempertahankan keselamatan dan integriti sempadan wilayah.
Manakala, strategi keempat menekankan keperluan memaknai autonomi wilayah.
Kukuh perpaduan dan masyarakat Sabah bersatu
Sebagai aspirasi untuk memperkukuhkan perpaduan dan mewujudkan masyarakat Sabah yang bersatu untuk membina masa depan bersama, GRS menggariskan beberapa strategi dalam rukun keempat manifesto GRS iaitu Sabah United (Sabah Bersatu).
Tiga strategi utama tersebut dibentuk bagi memperkukuhkan perpaduan, meraikan kepelbagaian dan hak setiap kaum, memperkasakan golongan wanita serta memastikan tiada anak Sabah terpinggir.
Pertama, meraikan kepelbagaian dan menghormati hak serta kepentingan setiap kaum dan agama
Kedua, menekankan prinsip inklusiviti untuk memastikan setiap anak Sabah dan setiap segmen masyarakat diberikan akses dan peluang yang saksama dalam peningkatan mobiliti sosial dan tiada golongan yang terpencil dan terpinggir
Manakala, strategi ketiga memupuk nilai kekitaan dan pertanggungjawaban bersama dalam memperjuangkan agenda Sabah First serta gagasan Rumah Kita, Kita Jaga.
Seterusnya keempat, memaknai keberadaan GRS sebagai platform menyatukan parti-parti lokal bagi membina kestabilan politik negeri sekali gus memperkukuh kuasa politik Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
